Masih ada yang peduli! Brahim's pilih bantu rakyat! Teruskan inisiatif Buffet RM10 Dapur Brahim's!

Published by
KitaReporters

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, kenaikan harga makanan menjadi antara beban utama rakyat. 

Bagi pelajar, khususnya yang bergantung kepada pinjaman pendidikan, biasiswa atau bantuan keluarga, peningkatan harga makanan memberi kesan kepada kehidupan harian mereka. 


Buffet RM10 Dapur Brahim's menawarkan pilihan makan tengah hari yang mengenyangkan.


Ada pelajar terpaksa mengurangkan perbelanjaan makanan, memilih makanan kurang berkhasiat atau "mengikat perut" untuk berjimat.

Justeru, timbul persoalan, dalam negara yang sedang berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat, adakah akses kepada makanan berkualiti pada harga berpatutan seharusnya menjadi hak asas yang perlu dijamin kepada setiap pelajar dan golongan berpendapatan rendah?

Jika itu persoalannya, jawapan saya ialah ya. Dan, program makanan Rahmah yang pernah popular dulu wajar ditambah di IPT, kawasan perumahan B40, pusat komuniti, institusi latihan kemahiran dan kawasan bandar yang mempunyai kos hidup tinggi. 

Tapi, kejayaannya memerlukan kerjasama kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta agar manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai rakyat secara berterusan.


Nur Fatin Ibrahim (tengah) bersama Ahmad Fahimi Ibrahim (kiri) dan Feizal Nor Nurbi mempelawa sesiapa untuk menikmati Buffet dari Dapur Brahim dengan harga RM10 sahaja.


Program Buffet RM10 yang diperkenal oleh Dapur Brahim's membuktikan sektor swasta boleh memainkan peranan membantu menangani isu kos sara hidup. Ia bukan sekadar menawarkan makanan murah tetapi mengekalkan kualiti dan kepelbagaian menu. 

Ini penting kerana matlamatnya bukan hanya memastikan seseorang itu kenyang, tetapi mendapat makanan yang seimbang dan berkhasiat.

Ketua Pegawai Eksekutif Desatera Sdn. Bhd., Lt. Kol. (K) Datuk Paduka Feizal Nor Nurbi berkata, program itu diwujudkan selepas mengambil kira realiti semasa yang menyaksikan ramai pelajar dan masyarakat berdepan tekanan kewangan akibat peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata, Dapur Brahim pernah melaksanakan program makanan Rahmah khusus untuk pelajar sebelum ini dan melihat masih terdapat keperluan besar untuk meneruskannya.

"Kami pernah melihat sendiri ada pelajar yang berdepan kesukaran mendapatkan makanan yang berkualiti kerana kekangan kewangan. Sebab itu apabila ada cadangan untuk menghidupkan semula konsep makanan Rahmah, kami menyambut baik usaha tersebut.


Feizal Nor Nurbi


"Kami memahami bahawa ramai yang kini mencari hidangan berkualiti pada harga yang berpatutan. Melalui inisiatif Buffet RM10 ini, kami berharap dapat menawarkan pilihan makan tengah hari yang mampu milik tanpa mengorbankan aspek nilai serta kepelbagaian hidangan.

"Dulu fokus kami hanya kepada pelajar, tetapi hari ini kesan ekonomi bukan adalah menyeluruh termasuk golongan B40, pekerja dan masyarakat umum, jadi kami membuka peluang ini kepada semua," katanya selepas Majlis Pelancaran Buffet RM10 Dapur Brahim's @ Randau Rasa di UKM, Bangi, Selangor.

Melalui konsep "Cedok puas-puas, bayar RM10 je!", Buffet RM10 Dapur Brahim's menawarkan pilihan makan tengah hari yang mengenyangkan, pelbagai dan berbaloi untuk pelajar, kakitangan, komuniti sekitar serta orang awam. Buffet ini dibuka setiap Isnin sehingga Jumaat bermula jam 11 pagi secara walk-in dan dine-in sahaja.

Ia satu inisiatif bagi membantu meringankan beban pelajar serta golongan berpendapatan rendah.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Brahim's Dewina Group, Nur Fatin Ibrahim dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Dewina Holdings Sdn Bhd, Ahmad Fahimi  Ibrahim.


Set Buffet Dapur Brahim berharga RM10 turut mendapat minuman kordial.


Beliau berkata, harga buffet RM10 itu akan dikekalkan sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun 2026 sebagai komitmen syarikat untuk membantu golongan memerlukan.

"Walaupun berdepan cabaran kenaikan harga bahan mentah, syarikat tidak mahu mengurangkan kualiti makanan semata-mata untuk mengekalkan harga rendah.

"Jika kita benar-benar mahu membantu pelajar dan golongan B40, kita perlu lakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Saya tidak mahu harga kekal RM10 tetapi kualiti makanan dikurangkan.

"Untung mungkin sedikit, tetapi kami percaya rezeki ditentukan Allah. Yang penting pelanggan mendapat makanan yang berkualiti dan mampu milik," katanya.

Menariknya, buffet yang menawarkan kira-kira 30 jenis menu itu tidak mengehadkan jumlah makanan seperti sesetengah program makanan murah lain. 

Sebaliknya, makanan akan sentiasa ditambah selagi stok masih ada bagi memastikan pelanggan mendapat manfaat sepenuhnya daripada program berkenaan.


Buffet Dapur Brahim RM10 terbuka kepada kepada pelajar, golongan B40, pekerja dan masyarakat umum. 


Feizal berkata, pihaknya turut melakukan perancangan rapi sebelum melaksanakan program itu bagi memastikan ia mampu diteruskan dalam jangka panjang dan bukan sekadar inisiatif bermusim.

Beliau berkata, kemampuan operasi Brahim's Catering yang mampu menyediakan sehingga 3,500 hidangan bagi satu tempahan membolehkan syarikat mengekalkan penawaran makanan berkualiti walaupun pada harga yang rendah.

"Bagaimanapun, usaha sektor swasta sahaja tidak mencukupi untuk menangani tekanan kos makanan yang semakin dirasai rakyat. Sepatutnya lebih banyak pihak termasuk institusi pengajian tinggi, syarikat korporat dan agensi kerajaan perlu berganding bahu memperluaskan program seumpama itu.

"Jika lebih banyak pihak tampil membantu, lebih ramai pelajar dan golongan memerlukan dapat menikmati makanan berkualiti pada harga yang berpatutan.

"Ia bukan soal keuntungan semata-mata, tetapi soal tanggungjawab sosial untuk memastikan tiada siapa terpaksa mengikat perut kerana kekangan kewangan," katanya.


Ada 30 menu disediakan Dapur Brahim dan ia ditukar setiap hari untuk memberi kepuasan dan citarasa berbeza kepada pelanggan.


Dalam masa sama, beliau berharap kerajaan terus memperkukuhkan usaha mengawal kenaikan harga makanan dan kos bahan mentah supaya tekanan terhadap pengguna serta pengusaha makanan tidak menjadi semakin serius.

"Kestabilan harga makanan bukan sahaja penting bagi membantu rakyat, malah membolehkan lebih banyak syarikat tampil menawarkan inisiatif mesra pengguna tanpa menjejaskan kelangsungan operasi perniagaan mereka.

"Ketika ramai pihak bercakap mengenai kenaikan kos sara hidup, langkah memperkenalkan Buffet RM10 mungkin kelihatan kecil, namun hakikatnya ia memberi mesej besar bahawa akses kepada makanan yang berkualiti dan berpatutan tidak seharusnya menjadi "kemewahan" bagi pelajar serta golongan berpendapatan rendah.

"Jika lebih banyak organisasi tampil mengambil pendekatan sama dan disokong dasar kerajaan yang berkesan, usaha membantu rakyat berdepan cabaran ekonomi semasa pastinya mampu dilaksanakan dengan lebih menyeluruh," katanya. - KitaReporters


Sebahagian pengamal media yang hadir sempat bergambar kenangan bersama Feizal Nor Nurbi 

5
8
0
4
0

Copy Link: