FTZ Tuanku Syed Sirajuddin - PIP! Perlis hab logistik pelabuhan darat! Pemangkin pertumbuhan ekonomi!
Published byPERLIS muncul sebagai hab logistik dan pelabuhan darat utama bagi perdagangan serantau dengan perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin - Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) di Lembah Chuping, berhampiran Padang Besar pada 30 Mei 2026.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah merasmikan Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin - Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) di Lembah Chuping, Padang Besar pada 30 Mei 2026.
Perasmian yang disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamallulail itu menyerlahkan komitmen berterusan negeri Perlis untuk menyokong pembangunan sektor logistik dan perdagangan antarabangsa.
Turut berangkat hadir pada majlis perasmian ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Tuanku Syed Sirajuddin berkenan berjabat tangan dengan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, pada perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin.
Zon perdagangan bebas atau ZPB (FTZ) ini melambangkan satu lagi pencapaian signifikan dalam usaha Malaysia memperkukuh hubungan serantau serta mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab logistik yang berdaya saing.
Hab darat dibangunkan untuk memudahkan perdagangan rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand.
PIP dijangka jadi pemangkin utama rantaian bekalan serantau dan disasar untuk menyokong perdagangan dua hala Malaysia-Thailand sebanyak AS30 bilion (RM121 bilion) menjelang 2027.
Selain itu ia juga menghubungkan rantau ASEAN dengan China,
Asia Tengah dan Eropah. Pemilihan Perlis sebagai hab logistik membuktikan keyakinan
bahawa negeri tersebut mampu melaksana dan mengurus hab yang sangat penting
itu.
Hab ini dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas
(RMK12) dengan sokongan pembiayaan daripada Kementerian Ekonomi melalui kerjasama
strategik awam-swasta. Ia melibatkan kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri
Perlis dan Mutiara Perlis Sdn. Bhd. (MPSB).
Fasa pertama PIP memulakan operasi komersial pada Disember 2025 dan terus berkembang secara berperingkat-peringkat ke arah operasi penuh dalam kawasan seluas 500 ekar (202.34 hektar).

Zon Perdagangan Bebas ini dilengkapi infrastruktur logistik moden bertaraf antarabangsa, termasuk ‘bonded road’. Ia merujuk kepadan laluan darat atau jalan raya yang diluluskan khas oleh pihak kastam untuk pergerakan barangan import atau eksport yang belum dicukai.
Selain itu ia dilengkapi kemudahan sambungan rel terus ke
rangkaian landasan berkembar, landasan sisian serta terminal kontena moden.
PIP kini mengambil alih operasi Padang Besar Container
Terminal (PBCT) atau Terminal Kontena Padang Besar yang dipindah ke PIP pada 12
April 2026. Ini kerana kendalian di PBCT telah melebihi kapasiti maksimum iaitu
130,000 TEU setahun.
Dengan perpindahan ini, sebanyak 600,000 unit bersamaan 20 kaki (TEU) mampu dikendalikan setahun dengan sokongan lima perkhidmatan tren kargo setiap hari. Sasaran ialah sehingga dua juta TEU setahun.

Kain pemidang menjunjung kasih kepada Tuanku Syed Sirajuddin digantung pada kontena yang dikendalikan di Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin sebagai penghargaan kerangkatan baginda merasmikan zon tersebut.
Pengoperasian PIP juga satu pencapaian penting dalam pelaksanaan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030. Dasar ini menekankan integrasi menyeluruh antara mod pengangkutan rel, jalan raya dan logistik melalui pembangunan eskosistem pengangkutan pelbagai mod.
Zon Perdagangan Bebas ini bukan sekadar pelabuhan darat. Ia
juga berfungsi sebagai hab logistik strategik menghubungkan Malaysia dengan
Thailand, Laos, China serta rangkaian kereta api Trans-Asia.
Dengan rangkaian hubungan ini, ia sekali gus membuka peluang baharu dalam perdagangan dan kepelbagaian rantaian bekalan serantau. Seterusnya ia membantu mengembangkan sektor ekonomi Perlis khasnya dan Malaysia amnya, di samping menyedia peluang pekerjaan.

Sebahagian tetamu yang hadir pada perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin di Lembah Chuping, Padang Besar, Perlis.
Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin dianggap pemangkin ke arah pembangunan lebih rancak di negeri terkecil di Malaysia itu, merentasi sempadan antarabangsa.
Kerajaan negeri pasti akan berusaha keras memastikan hab perdangan
ini akan berkembang pesat dan menjadi sumber ekonomi negeri. Dengan sokongan
kerajaan pusat, matlamat ini lebih mudah dicapai.
Turut hadir pada majlis perasmian Zon Perdagangan Bebas ialah Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Ahli-Ahli Exco Negeri; Anggota Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali; serta Pengerusi Kumpulan Mutiara Perlis Sdn. Bhd., Datuk Shabaruddin Ibrahim. - KitaReporters
