Pakai dulu, bayar kemudian! Amalan muflis! Gaya hidup makan diri! Ramai anak muda jadi bankrap!
Published byBijak berbelanja. Istilah ini kerap kali kita dengar dicanang-canangkan sejak dahulu lagi. Malah kedua-dua ibu bapa kita juga sering mengingatkan kita supaya berjimat-cermat dan menabung untuk masa hadapan.

Namun realitinya, zaman kini penulis merasa sedih dan bimbang melihat ramai anak muda yang diisytiharkan muflis akibat terlalu banyak mengambil pinjaman dan berhutang dengan bank tetapi tidak mampu membayarnya semula mengikut masa yang ditetapkan.
Selain itu, budaya dan amalan Pay Later (Bayar Kemudian) yang diperkenal oleh perniagaan dalam talian seperti Shopee, TikTok, Atome serta platform-platform lain menjerat anak-anak muda serta kebanyakan orang ramai dengan berbelanja dan membayar kemudian.
Namun apabila tiba masa untuk membayar, wang sudah tidak ada lagi.

Laporan kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 yang diterbitkan oleh Bank Dunia, menganggarkan sejumlah 60 peratus daripada keseluruhan individu muflis di Malaysia adalah dari golongan anak, ekoran daripada tabiat berbelanja melebihi pendapatan.
Tabiat berkenaan disifatkan berbahaya kepada golongan millennial jika dibiarkan berterusan tanpa pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan.
Kadar muflis yang tinggi disebabkan membuat pinjaman bagi untuk penggunaan peribadi bukannya untuk pelaburan dan pengumpulan kekayaan. Ini semakin membimbangkan.
Ia berlaku dalam kalangan peminjam muda yang mempunyai pengetahuan kewangan yang terhad dan tidak begitu celik kewangan.
Berdasarkan laporan berkenaan, satu daripada empat isi rumah di Kuala Lumpur memperoleh gaji bulanan kurang daripada anggaran paras kehidupan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu RM2,700 bagi individu tidak berkahwin, RM4,500 bagi pasangan tanpa anak dan RM6,500 bagi pasangan dengan dua anak.
Isi rumah dengan pendapatan di bawah paras berkenaan cenderung untuk mengambil pinjaman peribadi dan kad kredit bagi menampung serta meningkatkan standard kehidupan masing-masing.

Promosi perniagaan secara dalam talian sebegini amat menarik perhatian dan penulis sendiri juga tertarik untuk menggunakannya namun memikirkan tanggungan bayaran yang perlu dilunaskan pada hujung bulan atau enam bulan kemudiannya, menjadikan penulis cepat-cepat geleng kepala dan menolak membeli menggunakan Pay Later sebegini.
Lebih parah lagi, apabila pembelian Pay Later ini menggunakan kad kredit sebagai medium pembayaran. Orang kata, keluar mulut buaya, masuk mulut harimau.
Sudahlah kita berhutang dengan syarikat pembelian dalam talian, kini ditambah pula menggunakan kad kredit sebagai medium pembayaran.
Apabila hutang kad kredit tidak mampu dilunaskan, secara tidak langsung kita juga berhutang dengan syarikat pembelian dalam talian tadi. Orang putih kata, double trouble! Jadi tidak hairanlah anak muda zaman kini mudah dimufliskan.
Selain itu, pinjaman peribadi untuk membeli kereta, motosikal juga menyumbang kepada potensi penambahan hutang. Tidak salah membeli kereta atau motosikal tetapi jika membelinya dengan harga di luar kemampuan bulanan kita, ia akan menjadi beban yang sangat berat.
Lebih parah lagi, ada yang sanggup menjadi penjamin atau gerento kepada ibu bapa, isteri, suami, adik-beradik dan ipar-duai bagi membuat pinjaman kereta atau rumah yang akhirnya memakan diri sendiri apabila mereka tidak dapat membayar hutang bank berkenaan dan yang menjadi mangsa adalah penjamin.
Begitu juga ada pasangan pengantin yang bakal mendirikan rumah tangga sanggup membuat pinjaman peribadi berbelas-belas ribu sehingga ratusan ribu ringgit hanya untuk menganjurkan majlis perkahwinan yang gah demi dipuji para jemputan. Namun akhirnya, tiada wang simpanan bagi memulakan hidup berkeluarga.

Keadaan ini amat membimbangkan meskipun kita lihat ia seperti norma baru ‘beli dulu, bayar kemudian’ secara ansuran dari tiga bulan, enam bulan sehingga ke setahun.
Secara dasarnya kita lihat mereka mampu memiliki segalanya tetapi yang tersirat sebenarnya semua itu dibeli secara hutang yang jadi beban sehingga mengakibatkan seseorang itu muflis.
Bagi penulis, ini semua hanya hawa nafsu apabila kita membeli sesuatu yang bukan keperluan bagi kita. Banyak kehendak yang hanya dibeli dengan kaedah berhutang secara dalam talian ini.
Sebagai ibu bapa, kita haruslah senantiasa menasihati serta memantau perbelanjaan anak-anak meskipun anak-anak sudah meningkat dewasa. Terapkan nilai menabung dan tidak berbelanja menggunakan kad kredit secara keterlaluan.
Jika mahu membeli sesuatu, haruslah usaha mendapatkannya dengan menggunakan wang tunai.
Selain itu, para suami dan isteri haruslah memantau perbelanjaan satu sama lain secara dalam talian ini bagi mengelakkan bebanan hutang di hujung bulan atau hujung tahun terutama sekali apabila menjelang musim perayaan.
Berenang-renang ke hulu, berakit-rakit ke tepian, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.
Biarlah kita bersusah dahulu menyimpan wang dan menabung daripada kita berhutang dahulu dan merasa sakit membayarnya pada kemudian hari. - KitaReporters

