Selamat dan bersih! Persatuan Jiwa Cakna bantu penjaja dapat tapak baharu! MPHS keluarkan lesen!
Published byTapak penjaja berlesen akan memberi manfaat besar kepada komuniti peniaga terbabit kerana ia menyediakan lokasi berniaga yang strategik dan sah di samping kos sewa yang rendah yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

13 penjaja hadir pada majlis penyerahan surat tawaran tapak perniagaan oleh MPHS.
Paling penting tapak penjaja
sedemikian akan menjamin kestabilan perniagaan tanpa gangguan selain
meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap kebersihan serta kualiti makanan yang
dijual, manakala lokasi itu akan menjadi tumpuan ramai apabila menjadi buah
mulut masyarakat.
Mengambil langkah untuk membantu, Persatuan
Jiwa Cakna Bandar Baru Sungai Buaya (PJCBBSB), Hulu Selangor, menganjurkan pertemuan
antara komuniti penjaja harian BSB bersama Jabatan Perlesenan Majlis
Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi menyelesaikan masalah tapak berniaga,
buat kali ketiga pada 25 Mei 2026.

Ruslee Hashim (kanan) dan Kamaruzaman Abdul Rahman (tengah) membuat tinjauan kerja gotong-royong mengecat petak tapak penjaja.
Dalam pertemuan yang berlangsung di Pusat
Komuniti KRT Kasturisari Presint 14, BSB, Pengerusi PJCBBSB, Dato’ Ruslee
Hashim menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang
hadir serta memberikan taklimat mengenai usaha yang sudah dilaksanakan oleh
persatuan dalam membantu komuniti penjaja di BSB.
Beliau turut merakamkan penghargaan
kepada Pengarah Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Usahawan Majlis Perbandaran
Hulu Selangor (MPHS), Kamaruzaman Abdul Rahman, kerana sudi hadir bagi
menyampaikan taklimat khas kepada penjaja terbabit.
Menurutnya, taklimat itu amat penting disampaikan kepada penjaja terutama bagi memastikan mereka memahami kemudahan disediakan di samping memanfaatkan tapak perniagaan yang akan memberi keselesaan, keselamatan dan akan menarik lebih ramai pelanggan.
Kamaruzaman (tengah) menyerahkan surat tawaran tapak perniagaan oleh MPHS kepada seorang penjaja.
“Semoga usaha dan kerjasama erat
antara komuniti penjaja, PJCBBSB serta pihak MPHS ini dapat terus
memperkukuh pembangunan ekonomi setempat dan memberi manfaat kepada penjaja
di BSB malah menunjukkan PBT sentiasa prihatin terhadap masalah penjaja.
“Sehubungan itu persatuan berharap
penjaja dapat menjaga kebersihan sekitar tapak berniaga baharu ini di samping
menjaga kualiti makanan, memberi layanan mesra dan sebarang masalah perlu
dimaklumkan kepada PJCBBSB untuk mencari jalan penyelesaian,” ujarnya.
Pada majlis berkenaan MPHS menyerahkan surat tawaran tapak perniagaan kepada 13 penjaja yang akan menjalankan perniagaan di kawasan hadapan tapak perniagaan Kesumbasari Fasa 1.

Mahmod Mat Ali (dua dari kiri), Kamaruzaman dan Ruslee hadir pada majlis taklimat kepada penjaja.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi
PJCBBSB, Mahmod Mat Ali merangkap Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT
Progresif) Kasturisari Presint 14, BSB, turut menzahirkan rasa bersyukur dapat
membantu penjaja mendapatkan tapak sesuai untuk berniaga.
Tambahnya, semua penjaja berada di
kawasan tapak yang tersusun, manakala orang ramai pula mudah bagi mencari gerai
bagi membeli pelbagai juadah untuk keluarga apabila hanya perlu bertumpu ke
satu lokasi sahaja.
“Kalau berkunjung ke daerah lain di Selangor ini kita boleh melihat banyak PBT kawasan terbabit menyediakan tapak berniaga tersusun dan selesa kepada penjaja untuk membantu mereka menjalankan perniagaan bagi menambah pendapatan keluarga dengan selamat di samping persekitaran yang bersih,” ujarnya.

Ruslee Hashim (duduk, lima dari kiri) dan Kamaruzaman Abdul Rahman (duduk, empat dari kanan) merakamkan kenangan bersama-sama penjaja.
