MPA rai 40 tahun perjuangan industri percetakan! Pacu transformasi AI untuk masa depan lebih pintar!
Published byPersatuan Pencetak Malaysia (Malaysia Printers Association atau MPA) membuka lembaran baharu industri percetakan negara melalui sambutan ulang tahunnya ke-40 dengan membawa tema Cetakan Berkuasa AI – Mentransformasi Percetakan, Memperkasa Perniagaan.


Ketika dunia pembuatan bergerak pantas ke arah era kecerdasan buatan (AI) dan automasi, industri percetakan Malaysia turut bersedia membuka lembaran baharu dengan mengangkat teknologi digital sebagai pemacu utama pertumbuhan.
Sehubungan ituu, Persatuan Pencetak Malaysia (Malaysia Printers Association atau MPA) membuka lembaran baharu industri percetakan negara menerusi pelancaran sambutan ulang tahun ke-40 yang berlangsung di VE Hotel Bangsar South pada 20 Julai 2026, dengan membawa tema “AI-Powered Print – Transforming Printing, Empowering Businesses” (‘Cetakan Berkuasa AI – Mentransformasi Percetakan, Memperkasa Perniagaan’).
Pelancaran tersebut menandakan bermulanya siri program sepanjang tahun yang akan membawa kepada kemuncak sambutannya di Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-40 MPA pada 22 Mei 2027, sekali gus meraikan empat dekad sumbangan persatuan dalam memperkasa industri percetakan Malaysia.

Mengangkat kecerdasan buatan (AI), automasi, pembuatan pintar dan transformasi digital sebagai teras utama, MPA menegaskan komitmennya untuk membantu pemain industri menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi global, meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh daya saing syarikat percetakan tempatan di peringkat antarabangsa.
Pengerusi MPA Kebangsaan, Chong Choo Meng berkata, ulang tahun ke-40 bukan sekadar meraikan perjalanan persatuan sejak penubuhannya, malah menjadi titik permulaan kepada fasa baharu industri percetakan Malaysia yang lebih moden, pintar dan berdaya saing.
“Tahun ini merupakan satu pencapaian yang amat bermakna. Sepanjang empat dekad lalu, industri percetakan Malaysia telah berevolusi daripada model percetakan tradisional kepada industri yang semakin digital, automatik dan pintar,” ujar Choo Meng pada majlis meraikan ulang tahun ke-40 penubuhan MPA yang dirasmikan oleh Tan Sri Ong Tee Keat.

Dari kiri: Tee Teck Hock, Iris Tan, Ong Tee Keat dan Chong Choo Meng kala menjawab pertanyaan media.
Turut bersama Pengerusi Penganjur majlis, Iris Tan dan Timbalan Pengerusi MPA Kebangsaan, Tee Teck Hock.
Choo Meng menambah, teknologi seperti sistem susun atur automatik berasaskan AI, pengurusan warna pintar, automasi pengeluaran, aliran kerja digital, percetakan digital serta teknologi pembungkusan pintar kini sedang mengubah landskap industri secara menyeluruh.
Menurutnya, industri percetakan masa depan tidak lagi boleh dilihat sebagai sektor pembuatan tradisional semata-mata, sebaliknya berkembang menjadi industri moden yang menggabungkan teknologi, data, kreativiti dan sistem pintar.

MPA akan terus memperkasakan penggunaan AI, automasi, Industri 4.0, percetakan hijau berteraskan ESG serta pembangunan bakat bagi membantu syarikat-syarikat ahli meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.
"Melalui sambutan ulang tahun ke-40 ini, kami berharap dapat menghimpunkan pemain industri dari dalam dan luar negara untuk meneroka hala tuju baharu industri percetakan Malaysia serta bersama-sama membina masa depan yang lebih pintar dan inovatif,” jelasnya.
Sebagai sebahagian daripada agenda transformasi industri, MPA turut memperkenal Program Roadshow Nasional selama setahun yang akan menghimpunkan pemain industri menerusi pelbagai aktiviti termasuk sesi jaringan perniagaan, forum industri, lawatan kilang, seminar teknikal, misi kajian antarabangsa, penyertaan dalam pameran perdagangan global serta aktiviti padanan perniagaan.
Program tersebut dirangka bagi menggalakkan perkongsian ilmu, memperluas jaringan kerjasama dan membuka lebih banyak peluang perniagaan antara syarikat percetakan, pembekal teknologi, pengeluar mesin serta pemain utama dalam rantaian bekalan industri.
Dalam majlis sama, MPA turut mengumumkan sokongan tiga wakil penaja iaitu UPA Machinery Sdn. Bhd., Systech Capital Sdn. Bhd. dan Yinzhi Interconnect (HK) Info Tech Co., Limited, yang bersama-sama memainkan peranan penting dalam menjayakan sambutan bersejarah tersebut.

Selain memberi tumpuan kepada pembangunan industri, MPA turut menzahirkan komitmen terhadap aspek pendidikan menerusi pelancaran Program Baucar Buku Pendidikan Ulang Tahun Ke-40 MPA sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Dengan sokongan para penaja, program bernilai RM50,000 itu akan menyediakan baucar buku bernilai RM100 kepada anak-anak individu yang pernah berkhidmat dalam industri percetakan Malaysia bagi membantu pembelian buku dan bahan pendidikan.
Inisiatif berkenaan bertujuan menggalakkan budaya membaca, menyokong pendidikan generasi muda, meringankan beban keluarga serta melahirkan bakat baharu yang mampu meneruskan kesinambungan industri percetakan negara pada masa hadapan.

Dalam pada itu mengulas mengenai pencapaian 40 tahun penuuhan MPA, Tee Keat akui perjalanan selama empat dekad bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), apatah lagi dalam sebuah industri yang sentiasa mengalami perubahan pesat dari aspek teknologi dan landskap perniagaan.
“Empat puluh tahun memperjuangkan kecemerlangan bukan satu tugas yang mudah. Sepanjang tempoh itu, industri percetakan telah melalui evolusi yang besar, bukan sahaja dari sudut transformasi teknologi, malah turut melibatkan perubahan keseluruhan landskap industri,” katanya.
Menurut beliau, pemain industri percetakan kini berdepan persaingan yang semakin sengit, bukan sahaja sesama pengusaha tempatan, malah daripada syarikat luar negara serta perkembangan pesat e-dagang yang mengubah corak perniagaan.
Beliau berkata, cabaran tersebut memerlukan kebijaksanaan dan tindakan secara kolektif, dengan MPA memainkan peranan sebagai platform yang menyatukan kekuatan industri bagi merangka penyelesaian bersama.
“Apabila kita berhadapan cabaran dari dalam dan luar negara, MPA perlu menjadi wadah terbaik untuk menggembleng kekuatan semua pihak, menyelaras usaha bersama serta menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa di Malaysia dan juga negara lain bagi mengharmonikan aspek kawal selia yang memberi kesan kepada industri,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa NGO tidak seharusnya hanya berfungsi sebagai medium jaringan dan mengeratkan hubungan sesama ahli semata-mata, sebaliknya perlu menjadi suara yang memperjuang kepentingan industri serta membantu ahlinya menghadapi cabaran semasa.
Tee Keat berharap MPA akan terus memainkan peranan strategik dalam memperkukuh daya tahan industri percetakan negara agar kekal berdaya saing di peringkat serantau dan global, selaras dengan perubahan teknologi serta perkembangan ekonomi digital.

Sambutan ulang tahun ke-40 MPA turut mendapat sokongan daripada Diamond Sponsors iaitu Hiew Paper Supplies Sdn. Bhd. dan Cyber (M) Sdn. Bhd., manakala barisan Gold Sponsors terdiri daripada ADSALE Exhibition Services Limited, Welcome2Print Sdn. Bhd., Rieckermann (Malaysia) Sdn. Bhd. serta Modern Alphine Sdn. Bhd. - KitaReporters
