Bila ABAH Bersuara| Tutup kedai! Singkat sungguh usia Pos Shop! 50 premis ditutup selepas 3 tahun!
Published byPos Malaysia menutup 50 premis cawangan Pos Shop, atau Kedai Pos -- kedai serbaneka ala mini market -- di seluruh negara berkuat kuasa pada 15 Julai 2026, hanya setelah tiga tahun beroperasi. Tiada penjelasan diberi kenapa keputusan itu diambil.

Rangkaian 50 cawangan Pos Shop seluruh negara ditutup mulai 15 Julai 2026, setelah beroperasi hanya tiga tahun.
Pos Malaysia menutup 50 premis cawangan Pos Shop, atau Kedai Pos, di seluruh negara berkuat kuasa pada 15 Julai 2026, hanya setelah tiga tahun beroperasi. Tiada penjelasan diberi kenapa keputusan itu diambil.
Pos Shop menawarkan kemudahan kedai serbaneka ala mini
market, menjual barang-barang keperluan dan makanan ringan kepada pelanggan.
Di cawangan tertentu, Pos Shop dilengkapi dengan Pos Kafe,
mini kafe yang menjual makan minum ringan kepada pelanggan sambil menjalankan
urusan pos, atau datang sekadar menjamu selera.
Dengan penutupan Pos Shop bererti kedai serbaneka yang anda saksikan dan pernah jadi pelanggan selama ini, ‘tutup buku’. Yang tinggal ialah pejabat pos yang kekal dengan fungsi hakiki perkhidmatan pos dan bungkusan pos.
Menurut tinjauan penulis, papan tanda atau ‘signboard’
Pos Shop telah diturunkan, termasuk di
Pejabat Pos Gombak, Kuala Lumpur berhampiran rumah penulis.
Di pejabat pos inilah penulis kerap membuat pelbagai urusan pos, atau urusan jabatan lain seperti Jabatan Pengangkutan jalan (JPJ), Amanah Saham, membayar bil, cukai dan lain-lain.
Dengan adanya Pos Kafe, bolehlah berurusan sambil makan minum. Tempat duduk disediakan.

Sambil berurusan di pejabat pos, boleh santai dan berbual menikmati makanan dan minuman ringan di Pos Shop.
Pos Shop dilancarkan pada Mei 2023 sebagai satu usaha mempelbagai kegiatan perniagaan Pos Malaysia. Rangkaian operasi kedai serbaneka ini diperkenal sebagai sebahagian daripada pelan transformasi syarikat.
Namun tidak diduga usianya begitu singkat. Kenapa Pos Shop yang sedia ada ditutup? Adakah ia akan memberi impak besar kepada pendapatan Pos Malaysia?
Kerana Pos Malaysia sendiri tidak memperinci sebab
penutupan semua cawangan, tidak dapat dipastikan apa punca sebenar penutupan.
Namun sebagai sebuah entiti perniagaan, penutupan mungkin kerana perniagaan tersebut tidak memberi pulangan yang diharapkan, malah mungkin menanggung kerugian. Kerana itu sebelum keadaan bertambah parah, ia wajar dihentikan.
Mengimbau penubuhan Pos Shop, ia dilancarkan pada Mei 2023
dengan cawangan pertama sebagai pelopor ialah Pejabat Pos Medan Tuanku, Jalan
Tuanku Abdul Rahman (JTAR), Kuala Lumpur.
Ia berterasakan konsep kedai serbaneka, menggabungkan perkhidmatan pos dengan penjualan barang keperluan harian. Antara yang dijual ialah makanan dan minuman serta produk gaya hidup.

Suasana dalam Pos Shop yang dilengkapi dengan kafe untuk kemudahan dan keselesaan pelanggan.
Pos Malaysia mengharapkan konsep Pos Shop mampu menjadi ‘nilai tambah’ kepada pejabat pos dengan memanfaatkan rangkaian pejabat pos sedia ada untuk menjana sumber pendapatan baharu kepada syarikat.
Pada masa sama ia memudahkan pelanggan membeli barang
keperluan ringan tanpa perlu ke kedai besar. Konsep tersebut dilihat sebagai
usaha mentransformasi pejabat pos kepada hab komuniti yang menawarkan pelbagai
perkhidmatan di bawah satu bumbung.
Dengan harapan ini, rangkaian Pos Shop terus bertambah.
Daripada cawangan awal di Pejabat Pos Medan Tuanku, ia berkembang kepada 50
cawangan di seluruh negara dengan beberapa cawangan menawarkan Pos Kafe.
Justeru penutupan Pos Shop hanya selepas tiga tahun memberi
gambaran hasrat dan harapan tidak tercapai, malah mungkin membebankan Pos
Malaysia. Mungkin atas situasi ini, cara
terbaik ialah menghentikan operasi.
Namun Pos Malaysia memberi jaminan operasi perkhidmatan
terasnya, termasuk penghantaran surat dan bungkusan, akan berjalan seperti
biasa melalui rangkaian pejabat pos, ejen sah serta platform digital.
Tentu mengecewakan harapan mentranformasi pejabat pos untuk menambah sumber pendapatan tidak jadi kenyataan.
Jika diteliti operasi pejabat pos, ia tidak rancak dan sibuk seperti dahulu, dipenuhi orang ramai untuk berurusan.
Daripada urusan pos mengepos, urusan membayar bil, urusan JPJ dan amanah saham dan lain-lain menyaksikan pejabat pos tidak putus dipenuhi pelanggan.

Pos Shop ibarat mini market yang menjual barang keperluan, makanan dan minuman ringan kepada pelanggan. Kini hanya tinggal kenangan.
Namun dengan peredaran masa, keadaan berubah. Urusan surat menyurat banyak digantikan dengan e-mail. Perkhidmatan Pos Laju pula menghadapi saingan daripada syarikat kurier lain.
Bayaran bil utiliti atau cukai boleh dilakukan secara atas
talian (online), begitu juga dengan amanah saham dan urusan JPJ. Kerana itu
pendapatan komisyen untuk Pos Malaysia berkurang.
Perkhidmatan kiriman wang pos atau wang pos sudah diambil
alih oleh sistem kiriman wang atas talian yang lebih pantas dan serta merta. Kiriman
wang boleh dilakukan dengan sentuhan jari melalui pemindahan wang.
Kerana itu Pos Malaysia berharap Pos Shop boleh membantu
menambah pendapatan syarikat bagi mengimbangi pendapatan yang merosot. Sayangnya
ia tidak menjadi.
Pada suku pertama 2026, Pos Malaysia rugi RM19.54 juta.
Bagaimanapun ini dianggap perkembangan positif kerana kerugian berjaya
dikurangkan berbanding kerugian RM41.52 juta dalam tempuh sama tahun lalu.
Daripada segi peningkatan hasil, Pos Malaysia meningkatkan
hasil kepada RM501.36 juta berbanding RM467.06 juta dalam tempuh suku pertama
tahun sebelumnya, lonjakan 24.6 peratus.
Jika prestasi ini berterusan dan bertambah baik, jumlah pendapatan akan meningkat, kerugian dapat dikurangkan, keuntungan dapat dicatatkan.
Kini Pos Shop akan hanya tinggal kenangan. Atau mungkinkah ia akan
diperkenal semula nanti? - KitaReporters
##ends.
