Guna kod QR je! 50 peniaga, penjaja di Bandar Sungai Buaya praktik guna! Usaha Jiwa Cakna, Agrobank!
Published byKeperluan untuk penggunaan kod ‘Quick Response’ (respons pantas atau QR) adalah bagi memudahkan akses pantas kepada maklumat, mempercepat transaksi pembayaran dan menghubungkan dunia fizikal kepada digital untuk pelbagai perkhidmatan dalam talian apabila hanya mengimbas menggunakan kamera telefon pintar.

Ruslee Hashim berucap pada majlis perasmian Program Komuniti Agrobank bersama peniaga dan penjaja di BSB.
Justeru mengimbas kod QR peniaga melalui aplikasi bank seperti DuitNow QR memudahkan pemindahan dana segera tanpa perlu membawa wang tunai atau mendedahkan nombor akaun.
Pelanggan boleh mengimbaskan kod QR di meja restoran untuk melihat menu dan memesan makanan secara terus.
Bagi manfaatkan kemudahan digital semakin meluas itu, Persatuan Jiwa Cakna Bandar Baru Sungai Buaya (PJCBBSB) menganjurkan Program Komuniti Agrobank bersama peniaga dan penjaja dengan kerjasama Bahagian Perlesenan dan Pembangunan Usahawan, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) pada 9 Jun 2026.

Norfadilah Harun (kiri) menyantuni peniaga dan penjaja dalam kalangan wanita pada program berkenaan.
Program
berlangsung di Pusat Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (RT Progresif)
Kasturisari, Presint 14 BSB itu, dihadiri 50 peniaga dan peniaga yang ingin
mendapatkan maklumat dan manfaat menggunakan kemudahan pembayaran tanpa tunai
melalui kod QR.
Pengerusi
PJCBBSB, Dato’ Ruslee Hashim, berkata program berkenaan diadakan bagi
menyantuni peniaga dan penjaja di BSB dengan menyediakan peluang serta
kemudahan untuk membuka akaun bank bagi memudahkan urusan jual beli menggunakan
sistem pembayaran tanpa tunai melalui kod QR itu.
Selain pembukaan akaun, menurut beliau, Agrobank turut menyediakan perkhidmatan perundingan kewangan bagi membantu peniaga mengurus kewangan dengan lebih sistematik serta meningkatkan prestasi perniagaan mereka.
Tambahnya, bagi peniaga yang memerlukan modal pusingan, Agrobank turut menawarkan pelbagai skim pembiayaan yang bersesuaian dengan keperluan usahawan dan ia amat wajar dipertimbang oleh peniaga atau penjaja terbabit untuk memastikan perniagaan mereka khusus mampu berdaya saing.
“Ini juga satu langkah membantu yang dilaksanakan persatuan untuk memberi bimbingan kepada peniaga dan penjaja menguruskan perniagaan mereka dengan bijak malah mendapat sokongan modal dari pihak bertanggungjawab,” ujarnya.
Kaunter Agrobank menjadi tumpuan peniaga dan penjaja untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan perniagaan.
Menurut Ketua Pembiayaan Mikro Wilayah 3 (Perak) Agrobank, Norfadilah Harun, pelbagai produk dan perkhidmatan bank berkenaan sudah diperkenal kepada peserta program termasuk skim pembiayaan usahawan, kemudahan perbankan digital serta pelan perlindungan takaful.
Menariknya, jelas
beliau, bank itu turut menawarkan program Khemah Merah Agrobank kepada peniaga
yang berjaya mencatatkan lebih daripada 300 transaksi pembayaran QR dalam
tempoh sebulan sebagai galakan untuk memperluas penggunaan transaksi tanpa
tunai dalam kalangan komuniti perniagaan.
“Alhamdulillah program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran 50 penjaja dan penjaja sekitar BSB dan mereka yang mengambil bahagian itu berpeluang mendapatkan maklumat serta memanfaatkan pelbagai perkhidmatan disediakan,” terangnya.

Kakitangan Agrobank memberi layanan mesra kepada peniaga dan penjaja yang ingin mengetahui perkhidmatan disediakan.
Sementara
itu, Timbalan Pengerusi PJCBBSB merangkap Pengerusi RT Progresif, Kasturisari
Presint 14, Mahmod Mat Ali menzahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran
program itu yang berjalan lancar hasil kerjasama erat semua pihak terbabit.
Menurutnya,
peniaga dan penjaja merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada
PJCBBSB dan Agrobank Cawangan Tanjung Malim atas inisiatif menganjurkan program
itu yang sekali gus memudahkan urusan pembukaan akaun serta mendapatkan khidmat
perbankan tanpa perlu pergi jauh.
“Saya seperti juga dengan peserta terbabit dalam program ini berharap ia dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membantu memperkasa komuniti usahawan tempatan serta meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya. - KitaReporters

Norfadilah Harun (duduk depan empat dari kiri) dan Ruslee Hashim bergambar bersama-sama peniaga, penjaja dan kakitangan Agrobank pada program berkenaan.
