Lagi pembukaan Pusat Pandu Lalu KitaRecycle dibuka! Usaha sama SWM Environment dan Coca-Cola Bottlers!
Published bySWM Environment dan Coca-Cola Bottlers Malaysia-Singapura-Brunei terus memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian melalui pembukaan fasiliti Pusat Pandu Lalu KitaRecycle (PPLK) Coca-Cola ke-5 di Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Cawangan Nilai.

Pembukaan fasiliti baharu ini pada 11 Jun 2026 didorong oleh pencapaian memberangsang program KitaRecycle yang telah mencatatkan jumlah kutipan barangan kitar semula sebanyak 30.2 tan pada tahun 2025, 4.5% lebih tinggi berbanding jumlah kutipan 28.9 tan pada tahun 2024.
Peningkatan ini telah membuktikan keberkesanan pendekatan program kitar semula berasaskan komuniti melalui platform digital KitaRecycle oleh SWM Environment dalam membudayakan amalan pengasingan sisa di punca dan kitar semula.
Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, pencapaian ini mencerminkan peningkatan terhadap tahap kesedaran awam serta komitmen komuniti yang semakin kukuh dalam menyokong agenda kelestarian dan ekonomi kitaran.
“Prestasi memberangsangkan yang dicapai melalui program KitaRecycle membuktikan bahawa dengan kemudahan yang sistematik, mudah diakses dan mesra pengguna, masyarakat akan tampil memberi sokongan dan memainkan peranan mereka dengan lebih aktif dalam menjayakan dasar kerajaan menggalakkan rakyat mengamalkan aktiviti pengasingan sisa di punca dan kitar semula.
"Ini merupakan petanda positif ke arah pembentukan masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

Dari kiri: Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seremban, Ts. Masri Baharuddin, Khairul Anwar Ab Gahani; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Pengangkutan, Arul Kumar A/L Jambunathan; dan Mohd Norlisam Mohd Nordin.
PPLK diperkenalkan sebagai platform yang memudahkan orang ramai menghantar barangan kitar semula mereka melalui kaedah pandu lalu yang cekap, praktikal dan mesra pengguna.
Inisiatif ini bukan sahaja memperkasakan amalan kitar semula, malah meningkatkan kadar pemulihan sumber yang boleh dikitar semula serta membantu mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan.
Beliau berkata, fasiliti baharu ini merupakan yang kelima dibangunkan hasil kerjasama strategik antara SWM Environment dan Coca-Cola Bottlers sebagai sebahagian daripada komitmen bersama dalam memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar, memperluas amalan ekonomi kitaran serta menyokong pembangunan komuniti yang lebih mampan di Negeri Sembilan.
Empat fasiliti terdahulu yang mula beroperasi di Laman Jentayu, Laman Mawar, Laman Cempaka Sri 1 dan Laman Cempaka Sri 2 di Kota Seriemas, Bandar Enstek sejak Disember 2023 telah menunjukkan prestasi kutipan barangan kitar semula yang amat positif.
Pencapaian tersebut membuktikan keberkesanan model PPLK dalam menggalakkan penyertaan komuniti secara berterusan dalam aktiviti kitar semula.
Penambahan fasiliti ke-5 ini dijangka memberikan impak yang lebih besar kepada penduduk setempat serta komuniti perniagaan di sekitar Nilai dengan menyediakan akses yang lebih mudah kepada kemudahan kitar semula yang sistematik, selamat dan berkualiti.
"Sepanjang 15 tahun bertapak di Negeri Sembilan, komuniti di sini bukan sekadar jiran kepada kami, malah sebahagian daripada keluarga besar Coca-Cola.
"Melihat sambutan positif terhadap program KitaRecycle oleh SWM Environment, kami ingin terus memainkan peranan dalam membantu membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat melalui penyediaan kemudahan yang lebih mesra pengguna.
"Dengan kerjasama SWM Environment serta sokongan berterusan oleh MBS dan SWCorp, pembinaan fasiliti kelima (5) ini dapat direalisasikan dan ia merupanya PPLK KitaRecycle pertama di Malaysia yang menyediakan kemudahan mesra kerusi roda serta 100% dikuasakan oleh sistem tenaga solar bagi mewujudkan kemudahan yang lebih mesra komuniti dan mampan secara inklusif," kata Khairul Anwar Ab. Gahani, Pengarah Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian, Coca-Cola Bottlers Malaysia-Singapura-Brunei.

Dengan pembukaan fasiliti baharu ini, lebih ramai penduduk setempat dijangka dapat mengamalkan pengasingan sisa di punca secara lebih konsisten serta menjadikan kitar semula sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian.
Majlis perasmian ini turut menjadi simbol komitmen berterusan semua pihak dalam memperkukuhkan budaya kelestarian, mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi kitaran dan memastikan persekitaran yang lebih bersih, hijau dan mampan demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang. - KitaReporters/Kenyataan Media
