Oleh MOHD AZMI ABDUL HAMIDMajlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)
Semua kuasa membuat keputusan, dasar pengurusan dan kawal selia syariah mengenai tanah perkuburan Islam mestilah kekal berada di bawah institusi Islam.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengambil perhatian serius terhadap pelaksanaan Projek Pembangunan Tapak Perkuburan Awam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dilaksanakan melalui kaedah Kerjasama Awam Swasta (Public Private Partnership atau PPP).
Berdasarkan maklumat yang tersedia, perjanjian rasmi projek tersebut telah dimeterai pada 6 Julai 2026 antara Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Syarikat Harta dan Tanah Sdn Bhd serta Route Edge Sdn Bhd sebagai syarikat pelaksana projek tersebut.
MAPIM difahamkan bahawa pengasas syarikat pengebumian terkemuka Asia iaitu Tan Sri Kong Hon Kong, pengasas kepada "Nirvana Asia Group", turut terlibat dalam projek ini melalui kedudukannya sebagai pengasas kepada Route Edge Sdn Bhd yang terlibat dalam pembangunan infrastruktur tapak perkuburan tersebut.
Nirvana Asia Group merupakan antara penyedia perkhidmatan penjagaan pengebumian terbesar di Asia yang menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan pengurusan pengebumian dan memorial.

MAPIM ingin menegaskan bahawa tanah perkuburan Islam bukan sekadar aset fizikal atau projek pembangunan infrastruktur. Ia merupakan institusi agama yang mempunyai implikasi syariah, hukum hakam fiqh jenazah, pengurusan wakaf, sensitiviti umat Islam serta amanah yang berkaitan secara langsung dengan maruah umat Islam sehingga ke akhir hayat mereka.
Atas sebab itu, MAPIM berpendirian bahawa dasar, pentadbiran, pengurusan dan tadbir urus tanah perkuburan Islam hendaklah diletakkan di bawah institusi Islam yang mempunyai autoriti agama seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atau mana mana entiti Islam yang diberikan mandat secara sah oleh pihak berkuasa agama.
Sekiranya terdapat keperluan kepakaran teknikal, pembinaan infrastruktur, kejuruteraan atau pengurusan fasiliti, penglibatan syarikat swasta boleh dipertimbangkan sebagai kontraktor atau penyedia perkhidmatan teknikal semata mata.
Walau bagaimanapun, semua kuasa membuat keputusan, dasar pengurusan dan kawal selia syariah mestilah kekal berada di bawah institusi Islam.
MAPIM juga berpandangan bahawa projek yang melibatkan tanah perkuburan Islam memerlukan tahap ketelusan yang tinggi serta konsultasi awam yang mencukupi dengan pihak berkuasa agama, badan badan masjid, NGO Islam dan masyarakat Islam sebelum sebarang keputusan strategik dilaksanakan.

Institusi perkuburan Islam adalah sebahagian daripada identiti dan institusi umat Islam yang wajib dipelihara dengan penuh amanah, penghormatan dan kebertanggungjawaban.MAPIM menyeru Kerajaan Persekutuan supaya memberikan penjelasan terperinci mengenai skop penglibatan syarikat swasta dalam projek ini, termasuk bidang kuasa pengurusan, pemilikan, operasi serta mekanisme pematuhan syariah yang akan dilaksanakan.
Kepercayaan umat Islam terhadap institusi yang menguruskan urusan kehidupan dan kematian mereka merupakan suatu perkara yang tidak boleh dipandang ringan.
Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Artikel ini adalah pandangan penulis.
Mohd Azmi Abdul Hamid