APABILA 18 orang pelawak ‘otai’ berkumpul pada satu pentas sudah tentu tak kering gusi dan gamat dibuatnya kan? Justeru, pastikan anda nantikan kemunculan mereka di depan kaca TV mulai bulan depan. : KitaReporters.com

Antara artis veteran yang akan menyerikan program komedi terbitan Astro.


Jika anda meminati pelawak-pelawak veteran seperti AR Badul, Shamsul Ghau Ghau, Jalil Hamid, Imuda, Ebby Yus, Jaafar Onn, Salih Yaacob, Saiful Apek mahu pun Fauziah Nawi, Wan Maimunah, Sheila Mambo atau Angeline Tan, pastikan menonton program komedi terbaharu berjudul ‘Stand Up Comedy Otai’.

Bakal bersiaran pada setiap Khamis mulai 5 Disember 2019, jam 9.30 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124), barisan pelawak veteran berkenaan turut diwarnai rakan-rakan seperjuangan lainnya seperti Azlee & Pak Ya Senario, Mr Rama, Dato Shah Reza, Hamdan Ramli dan Sathiya.

Menggalas tanggungjawab sebagai ‘Tauke Panggung’, penyanyi, pelakon dan pelawak popular tanah air, Joey Daud diangkat sebagai hos  ‘Stand Up Comedy Otai’ , waima ini kali pertama sebenarnya beliau tampil solo sebagai pengacara program.

Joey Daud menggalas tanggungjawa sebagai 'Tauke Panggung'.


‘Stand Up Comedy Otai’ merupakan salah satu initiatif Astro dalam menyediakan platform dan ruang kepada golongan penggiat seni veteran yang pada satu ketika dahulu pernah mengecapi kegemilangan dan diminati ramai, untuk kembali beraksi di persada seni tanah air.

Ia juga direalisasikan demi menyahut saranan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi menggalakkan penglibatan penggiat seni veteran untuk terus kekal relevan dalam industri kandungan karya kreatif tempatan.

“Bukankah lebih baik pihak penerbit mengambil pelakon veteran daripada menyolek pelakon baharu dan muda bagi watak orang tua?” kata Dato Hans Isaac menyuarakan pandangannya.

Sesi sidang akhbar, dari kiri: Hans Isaac, Norzeha Mohd Salleh dan Joey Daud.


Betul juga ya tak? Daripada menghabiskan waktu untuk bersolek pelakon muda jadi tua sebaiknya ambil sahaja pelakon veteran, Anda setuju?

“Justeru, saranan FINAS baru-baru ini untuk membantu barisan seniman dan artis veteran dengan memperbanyakkan pembabitan mereka ini dalam produksi disambut baik oleh kami di Astro. 

"Penerbitan ‘Stand Up Comedy Otai’ ini merupakan salah satu contoh terbaik kami dalam merealisasikan misi FINAS dan Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia untuk membantu menjaga kebajikan golongan ini,” ujar Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Astro Warna, Prima dan InTrend kepada media pada majlis pelancaran program komedi tersebut di The Love@Matic pada Rabu (27/11/2019) lalu.

Menurut Norzeha, pihak Astro sentiasa menyokong menjaga kebajikan penggiat seni tanah air, khususnya pemain veteran melalui program yang disiarkan.

‘Sebagai contoh, Astro membuat sumbangan berbentuk wang tunai kepada artis-artis veteran antaranya menerusi program 'All Stars Buka Panggung’ mahu pun ‘Gegar Vaganza 2019’," tambah Norzeha.

Program yang berkonsepkan persembahan komedi ‘stand up’ secara solo ini  akan tampil dengan tema yang berbeza untuk kesemua sepuluh episod dan menariknya barisan selebriti berkenaan diberikan peluang untuk berkongsi pengalaman dan kisah hidup sepanjang penglibatan mereka di dunia hiburan.

Namun begitu, penceritaan yang dipersembahkan akan dibuat dalam nada komedi dan santai bagi menepati konsep program.

Seperti kata ramai, ‘tiada yang lama, tiadalah yang baru’, usaha dan komitmen Astro untuk terus menyediakan platform kepada artis-artis veteran dalam membuka peluang pekerjaan kepada mereka sesuatu yang harus dipuji.

Dan anda sebagai penonton perlu juga memberikan sokongan dengan menonton program terbaharu ini apabila ia mula bersiaran pada 5 Disember nanti ya. 

'Stand Up Comedy Otai’ ini boleh juga akan distrim melalui platform Astro Go dan On Demand untuk pilihan lebih fleksibel. - KitaReporters.com

2
2
0
0
1

Copy Link: