Strategi KKM lemah! Isu penguatkuasaan vape! Kena diperkemas lagi! Masih ramai ODB beli, hisab vape!
Published bySebanyak 48 Badan Bukan Kerajaan (NGO) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkemaskan strategi penguatkuasaan semasa supaya ia benar-benar menyasarkan untuk memutuskan saluran utama bekalan dan penjualan produk vape dalam talian kepada golongan muda.

Mengulas kenyataan media yang dikeluarkan oleh KKM pada 1 Jun 2026 lalu, NGO-NGO itu menyifatkan statistik yang dipaparkan mengelirukan, kerana ia boleh menimbulkan persepsi bahawa angka keseluruhan penguatkuasaan digunakan untuk menunjukkan ketegasan KKM walaupun ia tidak semestinya mencerminkan tindakan khusus terhadap ekosistem penjualan vape dalam talian.
Dalam satu kenyataan bersama, NGO-NGO itu berkata, dalam konteks kesihatan awam, penguatkuasaan yang berkesan bukan sekadar mengeluarkan kompaun kepada pengguna atau pemilik premis.
Ia perlu memutuskan rantaian bekalan dan pemasaran yang menjadikan produk tersebut mudah dicapai oleh golongan sasaran.
KKM sebelum ini melaporkan sejumlah 34,903 operasi penguatkuasaan telah dijalankan berikutan pemeriksaan 683,704 premis di seluruh negara mengakibatkan 233,831 kompaun dikeluarkan dan 4,226 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan tidak boleh kompaun.
Bagi kes pendakwaan di mahkamah, sebanyak 398 kes sedang dibicarakan sementara 204 kes sudah dimuktamadkan dengan denda dikenakan hampir mencecah RM1.2 juta.
Menurut kenyataan media KKM bertarikh 1 Jun 2026, berikutan aduan yang diterima, KKM telah menyiasat 10 laman web dan telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat 4 laman web di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sementara 6 laman web lagi masih dalam siasatan.
Badan-Badan Bukan Kerajaan itu berkata, tanpa pecahan data terperinci, angka penguatkuasaan yang besar berisiko dilihat sebagai statistik umum yang tidak menjawab persoalan sebenar masyarakat iaitu sejauh mana angka-angka besar itu benar-benar menggambarkan tindakan terhadap iklan dan penjualan vape dalam talian yang menjadi fokus utama kebimbangan masyarakat hari ini.
Menurutnya, 233,831 kesalahan boleh kompaun ialah bagi kesalahan merokok di kawasan larangan; kesalahan Orang Belum Dewasa (OBD) merokok; kegagalan mempamerkan papan tanda larangan merokok dan kesalahan pemilik premis yang tidak mengambil langkah munasabah menghalang aktiviti merokok di premisnya.
“Secara asasnya, statistik tersebut lebih banyak merujuk kepada kesalahan penggunaan dan pematuhan di lapangan, bukannya kesalahan pemasaran digital atau penjualan melalui platform e-dagang.
"Oleh itu, apabila statistik tersebut digunakan dalam kenyataan media yang menyentuh isu iklan dan jualan vape secara dalam talian, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa angka keseluruhan penguatkuasaan sedang digunakan untuk menunjukkan ketegasan KKM walaupun tidak semestinya mencerminkan tindakan khusus terhadap ekosistem penjualan vape dalam talian,” tegasnya.

Badan-Badan Bukan Kerajaan itu ialah Medical Mythbusters Malaysia (M3), Majlis Kawalan Tembakau Negara (MCTC) dan badan-badan Ahli Majlis MCTC, Pertubuhan Ibu Bapa Mencegah Rokok dan Vape Kuala Lumpur (PAVAC), Kelab Eko Lestari Keluarga dan Masyarakat Kuala Lumpur (EKOKL).
Juga Kelab Belia Inspirasi Taman Selaseh (EduCourage), Malaysian Pharmaceutical Society (MPS), Kelab Belia Aspirasi Sekinchan (KEBAS), Kelab Belia Sungai Leman (KBSL), Persatuan Eko Damai (PED), Kelab PM PINTAR (Projek Millenuim Pelajar Ini Nekad Tidak Merokok).
Serta CSR Brand Angel, Persatuan Kebajikan Muhibbah Mesra Rakyat Kuala Lumpur (PERKEMM), Persatuan Kebajikan Kota Iskandar, Malaysia Green Lung Association (MGLA), IKRAM Health, Persatuan Bebas Dadah Malaysia/ Drug Free Malaysia (DFM), Pertubuhan Hati Suci, Persatuan Alumni Fakulti Farmasi UKM dan IIUM Pharmacy Alumni.
Badan-badan Ahli Majlis Kawalan Tembakan Negara (MCTC) pula terdiri daripada Badan Sokongan Pesakit Kanser Seberang Perai, Community Support Network (SEL), Federation of Malaysian Consumer Associations (FOMCA), Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (i-Medik).
Juga Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Malaysian Association for Adolescent Health (MAAH), Malaysian Association for Maternal & Neonatal Health (MAMANEH), Malaysian Association for Prevention of Tuberculosis, Malaysian Association of Environmental Health (MAEH), Malaysian Pharmaceutical Society (MPS), Malaysian Thoracic Society (MTS).
Serta Malaysia Women’s Action for Tobacco Control and Health (MyWatch), Penang Consumer Association, Persatuan Gerontologi Malaysia (GEM), Persatuan Jururawat Malaysia (MNA), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (Kuala Lumpur), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (Pulau Pinang), Persatuan Kecergasan Wilayah Persekutuan Labuan, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam (PPPKAM), Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia.
Termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Perubatan Desa Sabah (PERSEDA), Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Seruan Islam Selangor & Wilayah Persekutuan (Jam’iyah), Pertubuhan Prihatin Malaysia, Public Health Society, MMA (PHS-MMA), Rangkaian Qariah Tanpa Rokok (RQTR) dan Yayasan Jantung Malaysia.

Menurut kenyataan bersama itu, perkara yang sama berlaku terhadap 4,226 kertas siasatan yang dibuka bagi kesalahan tidak boleh kompaun.
Tanpa pecahan terperinci, masyarakat tidak dapat mengetahui berapa banyak daripada jumlah tersebut benar-benar melibatkan:
- Iklan vape di media sosial
- Promosi vape oleh pempengaruh
- Penjualan vape kepada OBD terutama melalui platform e-dagang
- Penjualan produk vape kepada OBD di premis jualan vape.
“Begitu juga dengan perbicaraan 398 kes di mahkamah dan 204 kes yang telah selesai dengan jumlah denda sebanyak RM1.189 juta.
"Angka itu kelihatan besar dari sudut penguatkuasaan, namun tanpa pendedahan kategori kes, masyarakat tidak dapat menilai sama ada tindakan tersebut benar-benar menyasarkan punca utama peningkatan penggunaan vape dalam kalangan remaja atau sekadar tertumpu kepada kesalahan lebih mudah dikesan di lapangan.
“Jika benar sebanyak 34,903 aktiviti penguatkuasaan telah dilaksanakan, secara logiknya iklan dan penjualan vape secara dalam talian sepatutnya menunjukkan penurunan ketara. Namun realiti semasa menunjukkan sebaliknya. Produk vape masih mudah ditemui di platform media sosial dan e-dagang,” ujar kenyataan bersama itu.
Kenyataan bersama itu menarik perhatian, promosi menggunakan teknik pemasaran moden dengan poster penjenamaan berwarna-warni masih berleluasa di platform tersebut.
Malah terdapat beberapa dakwaan bahawa penjualan berlaku secara berselindung menggunakan kata kunci tertentu atau sistem pesanan peribadi yang menyukarkan lagi pemantauan tindakan pihak berkuasa.
“Keadaan ini mewujudkan persepsi bahawa penguatkuasaan terhadap ruang digital masih belum mencapai tahap yang benar-benar berkesan,” tambahnya.

Oleh sebab itu, kata NGO-NGO itu, KKM wajar mempertimbangkan untuk mendedahkan statistik yang lebih spesifik dan terperinci seperti:
- Jumlah iklan vape dalam talian yang telah diturunkan;
- Jumlah notis atau tindakan terhadap platform e-dagang terlibat;
- Jumlah akaun media sosial yang dikenakan tindakan;
- Jumlah kes penjualan vape kepada bawah umur melalui platform digital;
- Jumlah rampasan atau sitaan hasil operasi siber;
- Jumlah pendakwaan khusus berkaitan promosi dan penjualan vape atas talian.
Menurut kenyataan bersama itu, tanpa pecahan data sedemikian, angka penguatkuasaan yang besar berisiko dilihat sebagai statistik umum yang tidak menjawab persoalan sebenar masyarakat mengenai keberkesanan kawalan iklan dan penjualan vape secara atas talian.
“Lebih membimbangkan, statistik penggunaan vape dalam kalangan pelajar terus menunjukkan trend peningkatan. Pada tahun 2024, seramai 19,450 murid sekolah direkodkan terlibat dengan penggunaan vape berdasarkan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan.
“Di Kelantan pula, walaupun penjualan vape telah diharamkan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengesan 214 pelajar dan individu bawah umur 18 tahun terlibat dengan vape dalam tempoh hanya empat bulan pertama tahun 2026.
"Malah terdapat pelajar seawal usia 15 tahun yang dikesan menghisap vape di kawasan awam seperti kafe, kedai makan dan hentian bas. Adakah pelajar-pelajar itu mendapatkan vape secara dalam talian?” soal kenyatan bersama itu.
Badan-Badan Bukan Kerajaan itu menarik perhatian, selagi statistik penggunaan vape dalam kalangan remaja terus meningkat dan penjualan secara digital masih rancak berlaku, akan terus wujud tanggapan bahawa penguatkuasaan terhadap iklan dan penjualan vape dalam talian masih lemah serta terlindung di sebalik statistik penguatkuasaan bersifat umum dan tidak perincikan.
Menurutnya, jika iklan vape masih bebas muncul dalam media sosial, jika penjualan masih boleh dilakukan melalui platform dalam talian, dan jika remaja masih boleh mendapatkan produk tersebut dengan mudah, maka persepsi yang akan terbentuk ialah tindakan penguatkuasaan terhadap aspek digital masih rendah berbanding penguatkuasaan konvensional di lapangan.

Katanya, apabila statistik penggunaan terus meningkat walaupun ribuan operasi penguatkuasaan dijalankan, masyarakat berhak bertanya sama ada strategi penguatkuasaan semasa benar-benar menyasarkan saluran utama bekalan vape kepada golongan muda.
“Akhirnya, dari sudut persepsi awam, isu yang timbul bukan semata-mata tentang berapa banyak operasi telah dijalankan, tetapi sama ada operasi tersebut berjaya mengurangkan akses remaja kepada vape,” tegas mereka. - KitaReporters
