Jangan menjerit! Pita suara boleh lumpuh! Vokal manusia ada rahsia saintifik! Hari Suara Sedunia!
Published bySUARA bukan sekadar bunyi, tetapi anugerah yang membawa emosi, dakwah dan identiti manusia.
Suara manusia bukan hanya untuk bercakap malah medium komunikasi, penyampaian ilmu, bacaan al-Quran, azan, nyanyian dan ekspresi jiwa sehingga ada suara tertentu diibaratkan masyarakat Melayu sebagai “buluh perindu” kerana kelembutan serta getaran halus yang menyentuh perasaan pendengar.

Gambar hiasan... Suara boleh ‘sakit’ apabila ada jangkitan atau keradangan kronik malah pita suara boleh lumpuh jika tidak mendapat rawatan secepat mungkin.

Kemerduan suara adalah anugerah semula jadi namun ia boleh dibentuk melalui latihan berterusan membabitkan teknik pernafasan, penggunaan resonans, kawalan lidah, lelangit lembut dan lontaran suara yang betul.
Ramai menyangka suara sedap hanya bakat lahiriah, sedangkan teknik penggunaan suara sangat memainkan peranan. Sebab itu qari, muazin, penyampai radio dan pendakwah boleh memperbaiki mutu suara mereka melalui latihan.
Ketua Jabatan Otorinolaringologi - Surgeri Kepala dan Leher (ORLHNS), Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia/Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof Madya Dr Mawaddah Azman berkata, suara yang baik terhasil apabila pita suara dalam keadaan sihat dan digunakan tanpa tekanan berlebihan pada tekak.

Suara manusia adalah medium komunikasi, penyampaian ilmu, bacaan al-Quran, azan, nyanyian dan ekspresi jiwa sehingga ada suara tertentu diibaratkan masyarakat Melayu sebagai “buluh perindu”.
Beliau berkata, individu yang memiliki suara “buluh perindu” biasanya menggunakan rongga pernafasan dan sistem resonans dengan betul sehingga bunyi yang keluar lebih lembut, stabil dan tidak memaksa pita suara bekerja secara kasar.
"Kesilapan paling biasa ialah ramai yang menjerit atau meneran ketika bercakap, menyanyi dan melaungkan azan sehingga menyebabkan urat leher timbul akibat tekanan berlebihan pada saluran vokal.
“Apabila seseorang terlalu menekan tekak, ia adalah teknik penggunaan suara tidak betul. Lama-kelamaan pita suara boleh mengalami kecederaan mikro dan gangguan getaran,” katanya ketika ditemui sempena Hari Suara Sedunia atau World Voice Day 2026 di Fakulti Pengajian Islam UKM, Bangi, Selangor pada 7 Mei 2026.
Hari Suara Sedunia ialah sambutan antarabangsa yang diraikan setiap 16 April bagi meningkatkan kesedaran kepentingan penjagaan suara, kesihatan vokal dan peranan suara dalam kehidupan harian.
Hari Suara Sedunia bertujuan mendidik masyarakat cara menjaga suara, memberi kesedaran bahawa suara boleh mengalami kecederaan atau gangguan, menggalakkan penggunaan teknik suara yang betul, menekankan pentingnya hidrasi, pernafasan dan rehat vokal.

Dr Mawaddah Azman
Dalam dunia Islam dan dakwah, sambutan ini juga dikaitkan dengan teknik azan yang sihat, bacaan al-Quran bertaranum, pengucapan khutbah, penggunaan suara oleh pendakwah dan guru agama.
Beliau berkata, antara masalah yang sering berlaku ialah nodul pita suara iaitu benjolan kecil pada pita suara akibat penggunaan vokal berlebihan seperti terlalu banyak bercakap, menjerit atau menyanyi tanpa teknik yang betul.
"Keadaan itu menyebabkan pita suara gagal bergetar secara normal lalu menjadikan suara serak, cepat penat dan hilang kawalan nada.
"Jangkitan virus pada pita suara juga tidak boleh dipandang ringan kerana jika tidak dirawat, ia berisiko menyebabkan kelumpuhan pita suara sehingga memberi kesan besar terhadap percakapan dan penggunaan vokal harian.
“Ramai tidak sedar suara juga boleh ‘sakit’. Bila berlaku jangkitan atau keradangan kronik, pita suara boleh lumpuh dan ada yang mengalami kesukaran bercakap dalam tempoh panjang,” katanya.

Dalam dunia Islam dan dakwah, sambutan Hari Suara Sedunia juga dikaitkan dengan teknik azan yang sihat, bacaan al-Quran bertaranum, pengucapan khutbah, penggunaan suara oleh pendakwah dan guru agama.
Beliau berkata, faktor usia turut memberi kesan besar terhadap perubahan suara manusia.
"Ketika seseorang meningkat dewasa, pita suara akan mengalami perubahan struktur terutama selepas akil baligh sebelum menjadi semakin kurang anjal apabila memasuki usia tua.
“Pita suara juga mempunyai kolagen seperti kulit. Bila usia meningkat, kolagen berkurangan menyebabkan pita suara menjadi kendur, cepat letih dan kurang bertenaga,” katanya.
Menurutnya, lelaki biasanya mengalami nada suara lebih tinggi apabila meningkat usia, manakala wanita pula cenderung mengalami suara lebih berat akibat perubahan hormon.
"Antara tanda perubahan suara warga emas ialah suara menjadi kasar, kurang lantang, cepat penat, sukar mengawal nada dan getaran suara semakin tidak stabil.
"Namun, ramai warga emas masih mampu mengekalkan suara yang baik kerana menjaga teknik penggunaan suara sejak muda.
“Kita boleh lihat qari, tokoh agama, penyampai radio dan guru vokal yang masih mampu bercakap atau membaca dengan baik walaupun usia lanjut kerana mereka menjaga suara sejak awal,” katanya.

Perubatan moden membantu golongan profesional seperti penyanyi, penceramah, qari dan ahli politik mengekalkan fungsi vokal walaupun meningkat usia.
Beliau berkata, antara amalan penting untuk mengekalkan suara ialah minum air secukupnya, tidur mencukupi, mengelak merokok, mengurangkan kafein, tidak terlalu banyak menjerit dan melakukan latihan vokal ringan secara konsisten.
"Suara juga memerlukan “senaman” seperti otot lain dalam tubuh manusia. Jika atlet perlu memanaskan badan sebelum bersukan, pengguna suara seperti penyanyi, guru, pendakwah dan muazin juga perlu melakukan pemanasan vokal sebelum menggunakan suara dalam tempoh panjang.
"Teknik seperti humming, miming dan latihan pernafasan membantu mengurangkan tekanan pada pita suara selain meningkatkan kestabilan bunyi.
"Aspek itu sangat penting terutama bagi imam dan muazin yang menggunakan suara setiap hari untuk melaungkan azan dan memimpin bacaan," katanya.

Teknologi stroboskopi membantu doktor “memperlahankan” pergerakan getaran pita suara yang terlalu pantas untuk dilihat dengan mata kasar.
Sempena Hari Suara Sedunia 2026 itu, seramai 130 imam, bilal dan guru agama dari Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan menjalani saringan kesihatan suara membabitkan pemeriksaan endoskopi dan stroboskopi bagi melihat getaran pita suara secara terperinci.
"Pemeriksaan itu penting untuk mengenal pasti risiko awal penyakit berkaitan suara sebelum berlaku kerosakan lebih serius.
"Pita suara wanita biasanya bergetar sekitar 220 kali sesaat manakala lelaki sekitar 180 kali sesaat dan perubahan getaran boleh menjadi petanda masalah kesihatan vokal.
"Teknologi stroboskopi membantu doktor “memperlahan” pergerakan getaran pita suara yang terlalu pantas untuk dilihat dengan mata kasar," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sistem suara manusia jauh berbeza dengan haiwan walaupun kedua-duanya menghasilkan bunyi melalui getaran udara.
"Manusia menggunakan pita suara di dalam larinks manakala burung mempunyai organ khas dipanggil 'syrinx' yang membolehkan sesetengah spesies menghasilkan bunyi kompleks dan merdu.
“Burung seperti merbuk atau murai mampu menghasilkan nada yang sangat indah kerana struktur suaranya berbeza dengan manusia,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan perubatan moden kini membantu golongan profesional seperti penyanyi, penceramah, qari dan ahli politik mengekalkan fungsi vokal walaupun meningkat usia.
"Antara rawatan yang ada termasuk terapi suara, latihan semula teknik vokal, pembedahan mikro serta suntikan khas termasuk rawatan berasaskan sel stem bagi membantu memulihkan tisu pita suara yang lemah akibat penuaan.
“Rawatan ini membantu pita suara kembali lebih kuat dan stabil, namun disiplin menjaga suara tetap paling penting.
"Suara bukan sekadar alat komunikasi tetapi amanah yang perlu dijaga kerana ia memainkan peranan besar dalam kehidupan, dakwah dan hubungan sesama manusia," katanya. - KitaReporters
