Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkukuh tahap kesiapsiagaan nasional susulan jangkaan cuaca panas dan kering yang lebih mencabar akibat fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga awal tahun 2027. 



Ketua Pengarah NADMA, Meor Ismail Meor Akim berkata, rumusan yang dapat dibuat dalam Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi Monsun Barat Daya (MBD) 2026 adalah jelas bahawa negara pada masa ini berdepan dengan peningkatan risiko fenomena El Nino seperti kebakaran terbuka, kemarau, jerebu serta keadaan cuaca kering yang berpanjangan. 

Walaupun keadaan semasa masih terkawal, kerajaan tidak mengambil mudah dan semua agensi berkaitan telah diminta untuk mempertingkat kesiapsiagaan dan melaksanakan langkah mitigasi lebih awal bagi memastikan keselamatan rakyat, kelangsungan bekalan air serta kesejahteraan negara terus terpelihara. 

Antara langkah mitigasi yang telah diambil maklum dan dipersetujui untuk dilaksanakan adalah seperti yang berikut: 

Pertama, NADMA telah menyelaras pelaksanaan tujuh (7) siri Operasi Pembenihan Awan (OPA) melibatkan 27 penerbangan sejak Februari 2026 meliputi zon utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak. 

Tiga (3) siri lagi operasi dijadual untuk dilaksanakan dalam masa terdekat bagi membantu meningkatkan taburan hujan dan paras empangan di kawasan yang terjejas. 

Operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui penggunaan pesawat C-130 Hercules, manakala Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) bertanggungjawab menyelaras aspek teknikal dan saintifik pembenihan awan. 

Kedua, METMalaysia akan terus membuat pemantauan dan mengeluarkan status kemas kini fenomena El Nino sepanjang MBD. 

METMalaysia juga diminta untuk mengeluarkan ramalan jerebu dan menyalurkan maklumat ramalan kebakaran hutan kepada pihak JPBM yang dijana melalui sistem Fire Danger Rating System (FDRS) dengan unjuran tujuh hari ke hadapan. 


Kredit foto: FB SMK Seksyen 8 Kota Damansara


Ketiga, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diminta bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memantau 83 lokasi titik panas (hotspot) berisiko tinggi kebakaran terbuka secara berterusan sepanjang tempoh Monsun Barat Daya bagi tujuan mitigasi awal. 

Kedua-dua agensi juga diminta untuk mengadakan lebih banyak program kesedaran komuniti dengan kerjasama Rakan NADMA berkaitan dengan pembakaran terbuka di kawasan titik panas tersebut. 

Keempat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta untuk mengenal pasti empangan-empangan yang memerlukan penyelengaraan supaya pihak pihak yang terlibat boleh mengambil tindakan segera. 

Kelima, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) diminta untuk mengenal pasti lebih banyak lokasi sumber air bawah tanah untuk dibina telaga tiub sebagai salah satu kaedah mitigasi di kawasan-kawasan yang kekurangan air. 

Keenam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dalam aspek kesihatan awam, diminta untuk menyebarluaskan lagi hebahan mengenai kesan-kesan kesihatan akibat cuaca panas sebagai advokasi kepada orang ramai terutama kepada golongan berisiko tinggi. 

Ketujuh, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga diminta untuk melancarkan program kesedaran menghadapi cuaca panas kepada pelajar-pelajar sekolah pada peringkat kebangsaan bagi meningkatkan kesedaran serta mengurangkan risiko kesan MBD ini.



NADMA menegaskan bahawa pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of government) terus menjadi tunjang utama Kerajaan Madani pada masa ini dalam memastikan setiap agensi berkaitan berada pada tahap kesiapsiagaan optimum bagi menghadapi sebarang risiko bencana yang berpunca daripada cuaca panas dan kering. 

NADMA akan terus memantau perkembangan situasi semasa dan menyelaras tindakan semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan serta kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. - KitaReporters/Kenyataan Media

11
19
0
17
0

Copy Link: