Pameran Magis dan Logam: Semangat, Kuasa dan Seni berlangsung di Muzium Perak, Taiping sejak 1 Jun 2026 hingga 31 Disember 2026 dengan mempamerkan sebanyak 140 artifak logam kepada orang ramai buat pertama kali.




Keris merupakan logam yang mempunyai nilai seni dan budaya turut dipamerkan di Muzium Perak di Taiping.

Pedang, keris, bekas perak, alat kebesaran diraja dan pelbagai hasil kerja logam bukan sekadar objek lama yang dipamerkan di muzium.

Di sebalik setiap artifak tersimpan kisah tentang perkembangan tamadun manusia, pertukaran budaya dan kemahiran pertukangan yang diwarisi sejak ratusan, malah ribuan tahun dahulu.

Menerusi Pameran Magis dan Logam: Semangat, Kuasa dan Seni di Muzium Perak, di Taiping yang sedang berlangsung sejak 1 Jun hingga 31 Disember 2026, sebanyak 140 artifak logam dipamerkan kepada orang ramai buat pertama kali.



Antara logam yang dipamerkan di Muzium Perak di Taiping

Koleksi tersebut merupakan himpunan artifak yang dikumpulkan sejak tahun 1960-an, termasuk koleksi zaman kolonial, koleksi diraja dan pelbagai hasil pertukangan logam yang kini dikategorikan sebagai amat nadir (jarang terdapat).

Menariknya, sejarah pengumpulan artifak seperti ini bermula jauh sebelum wujudnya muzium moden. Pada zaman dahulu, koleksi berharga disimpan di dalam cabinet of curiosities (kabinet keganjilan/keanehan), iaitu ruang khas milik golongan bangsawan dan pemerintah.

Artifak logam seperti pedang, senjata, bekas hiasan dan alat kebesaran menjadi lambang kemajuan teknologi masyarakat terdahulu. Penggunaan logam berkembang sejak zaman tamadun Mesopotamia, Lembah Indus, Babylon, China dan India sebelum mengalami perkembangan pesat ketika Revolusi Perindustrian di Eropah.

Kini, hasil kerja logam bukan sahaja memenuhi keperluan harian atau menjadi bahan hiasan, malah berkembang sebagai industri kreatif yang menjana pendapatan.





Apa yang menjadikan pameran di Muzium Perak ini lebih istimewa ialah sebahagian besar artifaknya mewakili warisan Alam Melayu dan Nusantara. 

Pengunjung berpeluang melihat koleksi berkaitan Raja Laut, Sultan Abdullah, hasil perak dari Sumatera serta pelbagai koleksi yang pernah dimiliki pentadbir kolonial, termasuk Frank Swettenham.

Koleksi-koleksi tersebut memperlihat bagaimana hubungan perdagangan dan pertembungan budaya telah mempengaruhi reka bentuk serta teknik pembuatan logam di rantau ini. 

Unsur seni dari China, India, Arab dan Alam Melayu dapat dikesan melalui motif ukiran, bentuk senjata, bekas hiasan serta barangan diraja yang dipamerkan.

Lebih penting, kebanyakan artifak itu merupakan koleksi yang sukar ditemui pada masa kini kerana nilai sejarah dan keasliannya menjadikan setiap koleksi mempunyai kedudukan yang amat tinggi dalam dunia permuziuman.


Kamarul Baharin A. Kasim (kiri) sedang melihat logam emas yang dipamerkan pada Pamarean Magis dan Logam: Semangat, Seni dan Kuasa di Muzium Perak di Taiping.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, memelihara artifak berusia ratusan tahun bukanlah tugas yang mudah.

“Logam sangat sensitif terhadap perubahan suhu, kelembapan dan pencahayaan,” katanya selepas perasmian Pameran Magis dan Logam: Semangat, Kuasa dan Seni di Muzium Perak di Taiping pada 12 Julai 2026.

Kamarul Baharin berkata, pameran itu menyasarkan lebih 100,000 pengunjung.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM23 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk membina sebuah repositori baharu di Lukut, Port Dickson di Negeri Sembilan.

Katanya, projek pembangunan repositori itu dijangka menyediakan persekitaran penyimpanan artifak yang lebih kondusif dengan kawalan suhu dan kelembapan yang lebih sistematik.

Beliau berkata, projek itu akan bermula pada 2027 dan dijangka siap pada 2031 dengan menempatkan lebih 300,000 koleksi arkeologi, etnologi dan spesimen alam semula jadi.

“Setiap artifak disimpan di dalam repositori khas yang memenuhi piawaian pemuliharaan bagi memastikan ia kekal dalam keadaan baik untuk penyelidikan, pendidikan dan tatapan generasi akan datang,” katanya.


Kamarul Baharin (tiga dari kiri) menyerahkan sijil kepada Nor Azahar Ibrahim.

Menurut beliau, melalui usaha pemeliharaan yang berterusan, khazanah ini akan terus menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat hari ini dengan tamadun silam, sekali gus memastikan warisan nusantara kekal hidup dalam ingatan generasi masa depan. - KitaReporters

10
13
0
12
0

Copy Link: