Mohd. Nazirul bersama mantan ADUN Buloh Kasap, Norshidah Ibrahim yang merupakan salah seorang pelanggan tetapnya di hadapan kedainya di Segamat, Johor.


DALAM era dunia serba canggih ketika ini bukan manusia sahaja boleh menginap di hotel, malah haiwan peliharaan seperti kucing juga boleh ‘menikmati’ keselesaan menginap di hotel yang dikhaskan untuk mereka.

Kewujudan hotel kucing sudah pasti melegakan mereka yang mempunyai kucing peliharaan kerana tidak perlu risau memikirkan siapa yang akan menjaga haiwan peliharaan tersebut sekiranya mereka terpaksa bertugas di luar daerah dan perlu meninggalkan rumah dalam tempoh lama.

Melihat potensi besar serta ditambah minat terhadap haiwan hiasan mendorong sepasang suami isteri untuk mengorak langkah membuka perniagaan haiwan hiasan dan hotel kucing Lili Pet Shop sejak dua tahun lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kucing

Mohd. Nazirul Ramli sedang membersihkan 'bilik' kucing yang menempatkan kucing yang dihantar oleh pelanggannya.


Mohd. Nazirul membantu isterinya, Zuhaili mengeringkan bulu kucing pelanggan selepas dimandikan.


Mohd. Nazirul Ramli, 35, dan isterinya, Zuhaili Chasmani, 30, nekad melaburkan hampir RM85 ribu hasil simpanan mereka berdua bagi merealisasikan keinginan mereka untuk memiliki sebuah kedai haiwan peliharaan.

"Pada mulanya memang saya teragak-agak untuk melaburkan wang simpanan hasil berdikit-dikit selama ini, namun melihat kepada potensi serta galakan daripada kakak saya yang juga memiliki sebuah kedai haiwan peliharaan di Melaka, kami mengambil keputusan menceburi perniagaan ini.

"Melalui perniagaan ini kami mempunyai banyak masa untuk 'bermain' dengan beberapa ekor kucing peliharaan kami serta kucing-kucing yang dihantar oleh pelanggan untuk dijaga sementara mereka bertugas di luar kawasan," katanya yang pernah bertugas sebagai wartawan di salah sebuah akhbar arus perdana sebelum ini.

Katanya, selain menjual pelbagai keperluan kucing peliharaan, dia juga menyediakan perkhidmatan hotel kucing dengan bayaran RM12 semalam kepada pemilik kucing yang perlu ke luar kawasan dan kedainya di No.42A, PTD 16529 Jalan Utama 3/2  Pusat Kormesial Sri Utama, Segamat dibuka tujuh hari seminggu bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.


Selain meyediakan perkhidmatan hotel kucing, Lili Pet Shop turut menjual pelbagai barangan keperluan  kucing serta haiwan hiasan lain.


Menurutnya, pemilik kucing tidak perlu membekalkan barang keperluan kucing mereka ketika menghantar haiwan peliharaan mereka untuk 'menginap' di hotel kucingnya kerana semua keperluan disediakan.

Selain itu Lily Pet Shop & Hotel turut menyediakan perkhidmatan memandikan kucing dan bayaran yang dikenakan bergantung kepada umur kucing di mana kadar maksimum adalah RM30 bagi setiap perkhidmatan.

"Sebelum memulakan perniagaan sendiri, saya terlebih dahulu bekerja selama hampir setahun di kedai kakak saya bagi mempelajari selok-belok perniagaan kedai haiwan peliharaan khususnya penjagaan kucing serta haiwan lain.

"Seperti juga perniagaan lain, dua bulan pertama merupakan tempoh sukar bagi kami kerana ketika itu tidak ramai yang mengetahui kewujudan kedai kami dan bagi tujuan promosi berminggu-minggu lamanya saya mengedar risalah dari rumah ke rumah menaiki motosikal," katanya yang pernah dikejar anjing ketika menghantar risalah.


Norshida Ibrahim yang menghantar enam ekor kucingnya untuk dijaga oleh Mohd.Nazirul akan datang seminggu sekali untuk bermain-main dengan kucingnya.


Sementara itu, Zuhaili berkata, dia sentiasa menyokong usaha suaminya itu kerana dia sendiri minat kepada kucing dan sentiasa membantu suaminya setiap kali ada kesempatan walaupun masih bertugas di salah sebuah pusat internet di daerah ini.

Katanya, walaupun terpaksa menutup perniagaan sepenjang tempoh perlaksanaan PKP sebelum ini, namun dia bersyukur menerima sambutan yang menggalakkan selepas membuka perniagaan sejak beberapa bulan lalu.

Ketika ini terdapat 16 ekor kucing yang ‘menginap’ dalam tempoh yang agak lama di hotel kucingnya di mana tuannya hanya datang seminggu sekali untuk bermain-main dengan kucing mereka selain sudah mempunyai pelanggan tetap yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan serta memandikan kucing secara berkala.

Menurutnya, dia tidak merasakan kerja-kerja membantu suaminya di kedai sebagai beban kerana setiap kali berada di kedai dia berasa tenang bersama kucing yang terdiri daripada pelbagai baka dan keletah.

"Dengan adanya kedai ini saya berpeluang 'bermain' dengan pelbagai baka kucing yang ada antaranya hanya pernah dilihat melalui gambar sahaja sebelum ini.

"Bagi orang lain mungkin memandikan kucing atau membersihkan najisnya sesuatu yang menjijikkan, namun saya berasa sebaliknya kerana boleh dikatakan setiap kucing yang dihantar pelanggan begitu comel dan manja," katanya. -KitaReporters


Perniagaan kedai haiwan peliharaan memberi peluang kepada pasangan suami isteri ini untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama kucing yang merupakan haiwan kesukaan mereka. 

18
15
0
15
0

Copy Link: