Dr Nor Azimi Yunus


“RINTIHANKU tidak didengari... Kluster baru muncul lagi... Ladang Bukit nama diberi... Namanya gah tidak terperi... Tapi kes muncul setiap hari... Akhirnya tersebar serata negeri... Sampai bila harus begini,” itulah luhan rasa Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, ketika merujuk kes penularan COVID-19 di Terengganu.

Ramai netizen rasa pilu dan terharu dengan catatan Dr Nor Azimi menerusi catatan dalam Facebook miliknya pada 17 Mac 2021 apabila beliau menzahirkan perasan kecewa dengan keadaan COVID-19 di negeri itu kerana mencatatkan satu kluster baharu jangkitan pandemik berkenaan iaitu Kluster Ladang Bukit berpunca akibat ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Dr Nor Azimi:

https://kitareporters.com/search?search=Nor+Azimi


Dr Nor Azimi Yunus (tengah)  bersama petugas barisan hadapan tetap cekal dan tabah memerangi COVID-19 di Terengganu. - Kredit foto: FB Dr Nor Azimi


Nor Azimi berkata, kes membabitkan empat daerah iaitu Kemaman, Dungun, Marang dan Kuala Terengganu berpunca daripada jangkitan di tempat kerja di Kertih dan akhirnya merebak ke komuniti.

Sehingga kini, katanya, seramai 96 kes positif dikesan daripada kluster tersebut di mana 49 adalah pekerja, manakala 47 orang adalah ahli keluarga. Seramai 1,023 kontak rapat berjaya dikesan.



“Ia melibatkan seorang pekerja di tempat kerja Kerteh yang mempunyai gejala dan dikesan positif didapati berulang alik ke sebuah negeri kerana isteri dan anaknya tinggal di sana,” katanya.

Beliau berkata, bila kes positif masuk bekerja, mereka akan menjangkiti rakan sekerja pula. Apalagi kalau tempat kerja yang sempit dan sesak ditambah pula mereka bekerja bersama-sama selama 14 jam sehari. 

“Hasilnya seramai 49 dari 161 orang pekerja tadi dikesan positif serentak. Ini bermaksud transmisi telah lama berlaku,” katanya.

Kluster Ladang Bukit yang didaftarkan pada 12 Mac 2021 adalah kluster tempat kerja yang  yang mana kes indeks bagi kluster ini membabitkan seorang lelaki berusia 29 tahun, warganegara Malaysia dan dilaporkan positif COVID-19 pada 10 Mac hasil saringan individu bergejala. 



Katanya, untuk kluster ini, juga seramai lima pelajar dan seorang guru dari enam sekolah rendah telah dijangkiti.

“Kita akui pematuhan SOP di rumah sangat sukar tetapi pematuhan SOP oleh pekerja dan majikan di tempat kerja adalah mesti bagi mengelakkan penularan yang besar seperti yang berlaku di Ladang Bukit ini,” katanya.

Nor Azimi berkata, walaupun sudah setahun lebih  bercakap mengenai kepatuhan SOP, namun pelanggaran SOP masih boleh dilihat di mana-mana walaupun ia sepatutnya sudah menjadi norma baharu oleh semua pihak.



“Kita setuju rentas negeri tidak boleh selamanya dilarang. Sampai masa ia akan dibuka semula dan pokok pangkal masih perlu kepada pematuhan SOP,” katanya..

Beliau juga berharap kluster Ladang Bukit tidak menjadi kembar Makekar yang  masih terasa kesannya hingga kini.

Kenyataan Dr Nor Azimi itu, mendapat perhatian netizen apabila ramai yang menularkannya dalam media sosial.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui Facebook rasminya pada 18 Mac 2021 merekodkan pertambahan 42 kes sembuh dan 15 kes baharu COVID-19 menjadikan terdapat 172 kes COVID-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 3,501 kes. 



Manakala 169 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa. Tiga kes menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu tanpa memerlukan alat bantuan pernafasan. 

Dalam perkembangan lain, beberapa kluster aktif sebelum ini iaitu Kluster Gong Nering, Kluster Kampung  Tandak dan Kluster Kampung Jawek diisytiharkan tamat pada Khamis 18 Mac 2021 memandangkan tiada kes baru dilaporkan semenjak 28 hari yang lepas. - KitaReporters

3
1
1
0
0

Copy Link: