SEBELUM menularnya pandemik maut Covid-19, hanya tiga pemain gantian yang dibenarkan dalam bola sepak, seperti yang telah digubal Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Tapi dengan meningkatnya angka kes Covid-19, malah kehilangan nyawa yang belum reda atau dianggap terkawal, sukan paling popular di muka bumi ini turut terpaksa menerima dan ‘menghadam’ norma baharu kehidupan. : KitaReporters

NORMA baharu pertandingan sukan termasuk bola sepak di Malaysia melarang kehadiran penonton mahupun perhimpunan besar-besaran peserta di venue.


Justeru daripada tiga, kini sehingga lima pemain (umpama separuh daripada kesebelasan utama) boleh ditukar ketika permainan, malah IFAB melanjutkan pindaan sementara peraturan itu yang diperkenalkan pada 8 Mei 2020 ke Julai atau Ogos 2021, gara-gara Covid-19.

Sebelum ini, pindaan sementara dan berkuat kuasa serta-merta ini terpakai pada pertandingan yang sama ada telah bermula atau mahu dimulakan tetapi dijadualkan akan dihabiskan pada 31 Disember 2020.

Pindaan Undang-undang 3 – Pemain – Pindaan Sementara itu dibuat ekoran cadangan FIFA yang bertujuan melindungi kebajikan dan kesihatan pemain yang kian menerapkan norma-norma baharu kehidupan antaranya sekatan pergerakan umum, penangguhan lama musim liga, penjarakan sosial, amalan menjaga kebersihan diri dan beraksi tanpa penonton di stadium.

“Pindaan undang-undang penggantian pemain ini juga disebabkan perlawanan mungkin dilangsungkan dalam satu tempoh yang padat dengan keadaan cuaca yang berbeza yang kedua-duanya mungkin memberikan impak kepada kebajikan pemain,” lapor siaran media FIFA pada Rabu, 16 Julai 2020.

NORMA baharu sukan bersentuhan seperti bola sepak juga menitikberatkan amalan menjaga kesihatan dan kebersihan diri atlet.


Lembaga Pengarah IFAB menurut siaran itu, menambah, lanjutan tempoh penggunaan lima gantian pemain itu berasaskan semakan mendalam yang meliputi maklum balas pemegang taruh dan analisis mengenai impak Covid-19 terhadap kalendar pertandingan.  

“Semakan kami menunjukkan lanjutan penggunaan lima gantian ini diperlukan kerana:

* Ada pertandingan yang disambung pada 2020 mungkin mempunyai tempoh persediaan dan pemulihan yang lebih singkat daripada biasa sebelum permulaan musim mereka berikutnya.

* Bagi kebanyakan pertandingan, musim 2020/21 akan melibatkan perlawanan-perlawanan yang dimainkan dalam tempoh yang padat akibat permulaan yang tertunda dan tidak mampu untuk tamat lewat daripada kebiasaan kerana kejohanan utama antarabangsa.”

IFAB juga menetapkan, bagi mengelak permainan kerap terganggu, setiap pasukan akan hanya diberi tiga peluang menggantikan pemain, namun tindakan tersebut jika diambil dalam masa rehat, tidak akan dikira sebagai satu daripadanya.

LIMA pemain gantian dibolehkan dalam pindaan sementara undang-undang permainan IFAB-FIFA ekoran Covid-19.


Keputusan sama ada untuk menerapkan pindaan sementara peraturan ini masih tertakluk kepada budi bicara penganjur setiap pertandingan, sebagai contoh bagi negara ini, Liga Malaysia yang dikelolakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan badan pengurusnya, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Butiran lain pindaannya ialah:

  • Jika kedua-dua pasukan membuat satu pertukaran pada masa yang sama, ini akan dikira sebagai satu daripada tiga peluang yang diberikan kepada setiap pasukan. 
  • Bagi peraturan pertandingan yang membenarkan penambahan satu pemain gantian dalam masa tambahan, setiap pasukan boleh mempunyai satu peluang tambahan penggantian dan boleh dibuat sebelum permulaan masa tambahan dan pada masa rehat dalam masa tambahan. 
  • Pemain simpanan dan peluang yang tidak digunakan, boleh dimajukan ke dalam masa tambahan. 
  • Penggunaan penggantian pemain yang berulang bukan satu pilihan bagi pertandingan senior. 

AB. Ghani Hassan (kanan), mengalu-alukan penggantian lima pemain dalam Liga M 2020 berbanding tiga seperti sebelum ini. Di sebelahnya, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.


Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan turut mengalu-alukan pindaan penggantian sehingga lima pemain itu dan menjangkakan pelaksanaannya dalam Liga Super dan Liga Perdana 2020 yang mungkin disambung semula mulai 1 September 2020 ini.

Liga M yang tertangguh sejak 16 Mac 2020 lalu akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), turut menyaksikan pembatalan Piala FA dan Piala Pencabar, namun Piala Malaysia masih terselamat dan dijangka dimulakan 17 Oktober hingga 7 November 2020 ini yang hanya berformat kalah singkir.

Tanpa Piala FA yang turut berformat kalah singkir, MFL pada Mei 2020 lalu memutuskan juara Liga Super 2020 akan layak automatik ke Liga Juara Asia (ACL) 2021, manakala juara Piala Malaysia 2020 dan naib juara Liga Super 2020, menyertai Piala AFC 2021. - KitaReporters

JOHOR Darul Ta'zim (kiri), wakil tunggal Malaysia dalam ACL 2020, juga masih mendahului Liga Super tanpa sebarang kekalahan selepas empat perlawanan ketika musim tertangguh Mac 2020 lalu. 

0
0
0
0
0

Copy Link: