SAMBUTAN Aidilfitri di Terengganu agak suram apabila lima daripada lapan daerah di negeri itu kini berada dalam zon merah berikutan peningkatan pandemik COVID-19 yang terus melonjak sejak kebelakangan ini.

Lima daerah kini kembali berada dalam status zon merah ialah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kuala Terengganu, manakala daerah Hulu Terengganu dan Kemaman dalam kategori hijau dan Marang kekal kuning.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan DrNor Azimi

Dr Nor Azimi Yunus


Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, yang bimbang dengan situasi penularan COVID-19 di negeri itu kerap kali mengulangi pesanan supaya penduduk mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan kes jangkitan terus meningkat.

Katanya, sehingga ini Terengganu sudah mencatatkan 17 kes kematian sejak pandemik tersebut menular di negara ini pada 2019. Daripada jumlah itu daerah Besut menyumbang kes kamatian paling banyak iaitu sembilan kes.

Beliau berkata, pada 12 Mei 2021, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah merekodkan pertambahan 55 kes discaj, 60 kes baharu COVID-19 dan satu  kes kematian menjadikan terdapat 650 kes COVID-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 5,094 kes. 

Manakala 641 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa manakala sembilan  kes menerima rawatan di ICU Hospital Sultanah Nur Zahira (HSNZ), Kuala Terengganu dan tiga daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.



Dr Nor Azimi berkata, kes kematian ke-17 adalah kes 4878 yang merupakan lelaki berumur 71 tahun dengan sejarah darah tinggi dan kencing manis dari Mukim Palagat Besut.

“Kes mengalami gejala pada 6 Mei 2021 dan hadir ke klinik kesihatan pada 8 Mei 2021. Kes dirujuk ke HSNZ pada hari yang sama setelah ujian RTK Ag didapati positif,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan keadaan pernafasan yang tidak memuaskan, kes telah diberikan alat bantuan pernafasan dan dimasukkan ke unit rawatan rapi. Walaupun rawatan intensif berterusan telah diberikan, pesakit menghembuskan nafas terakhir pada 11 Mei 2021.



Dalam perkembangan lain, polis Terengganu mengaktifkan 190 pasukan pemantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi menjalankan rondaan di setiap kawasan perumahan dan kampung bagi memastikan masyarakat mematuhi arahan sambutan Aidilfitri. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pasukan dengan kekuatan hampir 800 pegawai dan anggota itu tidak akan teragak-agak mengenakan kompaun terutama kepada tuan rumah sekiranya terdapat pelanggaran SOP sambutan Aidilfitri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula pada 12 Mei 2021 hingga 7 Jun 2021.

“Pada hari raya ini, kalau kita dapati satu rumah itu ada khemah, buat majlis besar, ada kenderaan banyak memang akan kena kompaun terutama tuan rumah,” katanya. - KitaReporters


Roslee Chek

 

 

 

0
2
9
0
0

Copy Link: