Keadaan lengang tiada kenderaan di laluan utama Kuala Terengganu-Kota Bharu di Bandar Jertih pada hari pertama PKP. - Kredit foto: FB Jertih Sejahtera 


PENDUDUK di Terengganu dikejutkan dengan pertambahan kes baharu COVID-19 yang tertinggi pada hari pertama berada dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 apabila merekodkan 178 kes baharu menjadikan terdapat 506 kes aktif di negeri itu pada Jumaat, 22 Januari 2021. 

Sehingga ini Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merekod jumlah keseluruhan sebanyak 1,224 kes, manakala 505 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa. Satu  kes menerima rawatan di ICU HSNZ tanpa alat bantuan pernafasan.


Lagi laporan-laporan berkaitan JKNT:

https://kitareporters.com/search?search=JKNT


Taburan kes mengikut daerah di Terengganu


Menurut catatan Facebook JKNT sejak kebelakangan ini, negeri itu telah merekodkan kes-kes penularan tempatan yang tinggi. Dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga bagi mengelakkan diri dan keluarga daripada dijangkiti.

Pengarah JKNT, Dr Nor Azimi Yunus berkata, jika keadaan begini berterusan ada kemungkinan katil di hospital di Terengganu tidak lagi mencukupi untuk menampung semua kes positif tersebut. 


Dr Nor Azimi Yunus


Katanya, sebelum ini penduduk Terengganu mendengar kluster dalam keluarga rapat disebabkan perhimpunan keluarga. 

“Sekarang kita mula mengesan kluster yang berlaku di tempat kerja. Kluster Kebor Air merupakan Kluster keenam di Terengganu yang melibatkan tempat kerja,” katanya dalam catatan di Facebook miliknya. 

Beliau  berkata, kluster ini dikesan pada 16 Januari 2021 melibatkan sebuah Pejabat A. Sehingga ke hari ini seramai tujuh orang dari 25 kakitangan pejabat terbabit  telah dikesan positif COVID 19 di Pejabat A.



Katanya, Pejabat A banyak melakukan program bersama masyarakat yang juga melibatkan Pejabat B dan C. Akhirnya kluster ini menular ke dua pejabat ini. 

Terkini, katanya, seramai lapan dari 20 kakitanagan Pejabat B dikesan positif COVID-19, manakala seramai lima dari 19 kakitangan  Pejabat C juga dikesan positif COVID-19. 


Taburan kes mengikut mukim di Terengganu


Dr Nor Azimi berkata, penularan boleh berlaku berpunca daripada rakan sepejabat apalagi kalau meja sebelah menyebelah, menaiki kereta bersama-sama, berurusan rapat dengan rakan sekerja dalam satu pejabat dan pejabat lain dan bersama-sama semasa melakukan program. 

Beliau berkata, kluster tersebut bukan terhad kepada rakan sepejabat sahaja tapi juga sudah menular kepada keluarga kakitangan dan kontak sosial yang lain. Jumlah kes positif dari kluster ini adalah seramai 35 orang. 

Malah, katanya, ada kakitangan lelaki menjangkiti isteri dan tiga anak. Ada kakitangan lelaki lain menjangkiti isteri dan empat anak. Manakala ada kakitangan  perempuan menjangkiti ayah dan ada kakitangan menjangkiti adik.



“Yang kita sangat risau bila anak dijangkiti. Akan ada risiko penularan ke sekolah (institusi) pula. Bayangkan kalau sekolah (institusi) ada 300 murid dan 50 cikgu dan ahli keluarga. Ini yang berlaku di Kubang Bujuk, Kuala Terengganu menyebabkan ratusan pelajar dan cikgu telah dijangkiti,” katanya. 

Beliau berkata, kluster Kebor Air telah menular ke tiga buah pejabat (mungkin 4) dan melibatkan empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Setiu. 

“Setakat ini, seramai 278 kontak rapat telah dikesan dan pihak kami masih berusaha mengesan kontak rapat yang lain. Tidak termasuk sebuah sekolah (institusi) yang kita syaki mungkin sudah ada penularan. Sebanyak 142 ujian masih belum ada keputusan,”katanya.


Suasana sepi pada hari pertama PKP di bandar Jertih


Sementara itu, pergerakan kenderaan pada hari pertama PKP di Terengganu menyaksikan kurangnya kenderaan berada di jalan raya dan membuktikan orang ramai tidak keluar rumah kerana mematuhi arahan kerajaan. - KitaReporters


2
2
2
1
2

Copy Link: