Wanita warga emas bersama cucu perempuannya terselamat setelah rumah didiami mereka di Taman Ampang Jaya, Ampang terbakar.


UJIAN berganda buat seorang wanita warga emas yang baru sebulan kehilangan suami akibat Covid-19 apabila rumahnya pula musnah terbakar dalam kejadian di Taman Ampang Jaya, Ampang pada 9 Ogos 2021.

Mangsa yang berusia 64 tahun itu difahamkan tinggal bersama seorang cucu perempuannya yang berusia 14 tahun di rumah tersebut, bagaimanapun sempat menyelamatkan diri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata seramai 23 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dan BBP Pandan dikejarkan ke lokasi.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 3.55 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian lalu mendapati kebakaran melibatkan bahagian hadapan sebuah rumah satu tingkat didiami seorang wanita bersama cucunya.

“Kedua-dua mangsa berjaya selamatkan diri dan tidak alami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan oleh Kosmo pada 9 Ogos 2021.

Tambah Norazam, anggaran kemusnahan akibat kebakaran itu ialah 20 peratus dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. - KitaReporters


0
0
1
0
0

Copy Link: