Gambar hiasan... Penumpang yang ingin keluar masuk ke Langkawi boleh gunakan perkhidmatan feri dari Terminal Feri Kuala Perlis sepanjang Kuala Kedah dikenakan PKPD. - Kredit foto: FB Polis Langkawi


PERKHIDMATAN feri Kuala Kedah ke Langkawi akan dihentikan sementara waktu selama dua minggu bermula 6 September 2021 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Kedah.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kuala Kedah, Baharin Baharom berkata Terminal Feri Kuala Kedah ditutup sepanjang tempoh berkenaan.

“Penumpang yang telah membeli tiket bagi perjalanan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi dibenarkan membuat tuntutan bayaran balik harga tiket melalui emel seperti tercatat pada boarding pass bagi pembelian dalam talian.

"Selain itu, mereka boleh membuat tuntutan bayaran balik di kuanter bagi pembelian kuanter atau menukar perjalanan keluar masuk melalui Terminal Kuala Perlis,” katanya yang dipetik daripada laporan Harian Metro pada 5 September 2021.

Tambah beliau, penumpang yang ingin keluar masuk ke Langkawi boleh menggunakan perkhidmatan feri yang dibuka dengan satu trip perjalanan di Kuala Perlis.

Ujarnya, jadual perjalanan dari Langkawi ke Kuala Perlis pada jam 11 pagi, manakala dari Kuala Perlis ke Langkawi pada 1 tengah hari.

“Kapasiti penumpang pada satu-satu masa hanya 50 peratus dibenarkan dari jumlah keseluruhan tempat duduk dalam feri. Kekerapan perjalanan feri pula akan ditambah jika mendapat permintaan,” ujarnya.

Sementara itu, untuk info terkini, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad mengumumkan dua zon dalam Mukim Kuala Kedah, Kota Setar dikenakan perintah PKPD susulan penularan Covid-19. - KitaReporters


17
17
0
8
0

Copy Link: