PENUTUPAN sektor ekonomi dan industri diyakini mampu memutuskan rantaian wabak serta kurangkan beban kepada sistem kesihatan negara. - Kredit Foto: Sinar Harian


KERAJAAN negeri Selangor mencadangkan penutupan sektor ekonomi dan industri yang telah ditetapkan diteruskan sehingga tamat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), 13 Julai 2021.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cadangan itu disyorkan beliau dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Khamis, 8 Jun 2021 untuk dipertimbang dan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Ini berikutan matlamat pelaksanaan PKPD bagi memutuskan rantaian wabak serta mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara masih belum dicapai.

“Oleh itu, hanya sektor ekonomi yang benar-benar perlu sahaja dibuka bagi pertimbangan MKN,” katanya seperti dipetik oleh Kosmo pada Jumaat, 9 Julai 2021.

Dalam masa sama, Amirudin menjelaskan cadangan agar vaksinasi pekerja dipercepatkan dan kadar vaksinasi ditentukan sebagai antara faktor pembukaan sektor ekonomi.

Beliau menegaskan jumlah kes yang tinggi di Selangor antaranya akibat saringan menyeluruh di kawasan PKPD yang menyumbang kepada kes kumulatif berjumlah 1,346 kes serta saringan kontak rapat daripada kes positif di PKPD.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan memaklumkan lebih banyak sektor dibenarkan beroperasi di kawasan yang dikenakan PKPD di Selangor.

Sektor yang dibenarkan adalah sektor elektrik dan elektronik serta rantaiannya; sektor aeroangkasa (penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan); sektor mesin dan peralatan yang khusus kepada pengeluaran produk kesihatan dan makanan; dan syarikat pembuatan makanan dan minuman utama. - KitaReporters


MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cadangan itu disyorkan beliau dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memutuskan rantaian Covid-19. - Kredit foto: Astro Awani.

0
0
1
0
1

Copy Link: