Berita Terkini| Covid-19: Hotel Istana KL terpaksa hentikan operasi! Selepas 29 tahun dibuka!

Published by
KitaReporters


HOTEL Istana Kuala Lumpur mengumumkan pemberhentian operasi pada 1 September 2021 ini disebabkan mengalami kerugian akibat pandemik Covid-19.

Pengurus Besar Hotel, Noorazzudin Omar berkata, pihak pengurusan tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa menutup operasi tersebut.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas mempertimbangkan keadaan semasa dan semua pilihan yang ada.

“Situasi Covid-19 terus menerus memberi kesan kepada industri dan kemampuan untuk mencapai normal semula dan ia memberi kesan kepada perniagaan, kadar kepulangan dan pengunjung walaupun ada usaha terbaik kami.

“Walaupun hotel ini digunakan sebagai pusat kuarantin bagi pengurusan wabak Covid-19, kami masih menanggung kerugian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis, 1 Julai 2021.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kepada pekerja-pekerja.

“Pihak sumber manusia akan menghubungi anda dalam waktu terdekat. Kami berterima kasih atas perkhidmatan semua dan kami berdoa anda berjaya pada tahun akan datang,” ujarnya.

Hotel Istana terletak di Jalan Raja Chulan itu memulakan operasi pada 1992 dengan kos pembinaan RM25 juta dan mempunyai 515 bilik hotel. - KitaReporters


 

 

0
0
0
0
0

Copy Link: