SEBAHAGIAN individu yang dikompaun RM4,000 seorang kerana melanggar SOP di tepi pantai Tanjung Dawai, 20 Julai 2021. - Kredit foto: Kosmo


TINDAKAN 21 individu yang bersiar-siar sempena Hari Raya Aidiladha di tepi pantai Tanjung Dawai akhirnya mengundang padah dan memakan diri sendiri apabila setiap mereka dikenakan kompaun sebanyak RM4,000.

Kesemua individu yang terdiri 13 lelaki dan lapan wanita berusia antara 16 hingga 49 tahun ditahan dalam Ops Covid-19 oleh sepasukan polis di sekitar kawasan tersebut antara pukul 6.40 petang hingga 10 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap beberapa buah kereta di kawasan itu serta orang awam yang sedang berkumpul dan melepak di tepi pantai.

“Hasil soal siasat awal mendapati mereka gagal memberikan alasan munasabah semasa ditahan selain gagal mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan rentas daerah tanpa kebenaran dan tiada penjarakan sosial.

“Malah mereka yang kesemuanya datang dari luar daerah ini mengaku bersiar-siar dan memberi alasan berada di tepi pantai itu bersama kawan sempena cuti sambutan hari raya,” katanya seperti dipetik oleh Kosmo pada Rabu, 21 Julai 2021. - KitaReporters


1
2
1
0
0

Copy Link: