Berita Terkini| Cuaca panas, kering di Malaysia hingga Sept 2021! Tiada gelombang haba direkodkan

Published by
KitaReporters

Gambar hiasan... Cuaca panas dan kering di Malaysia dijangka berlanjutan sehingga September 2021.


CUACA panas dan kering di Malaysia ketika ini susulan negara mengalami Monsun Barat Daya dijangka berlanjutan sehingga pertengahan September 2021 depan.

Memetik laporan Bernama pada 22 Julai 2021, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi satu kenyataan memaklumkan bagaimanapun tiada gelombang haba direkodkan berlaku setakat ini.

"Berdasarkan pemantauan MetMalaysia terhadap gelombang haba hingga 21 Julai 2021, tiada kawasan di negara ini yang terdedah dengan sebarang gelombang haba. 

"Stesen meteorologi tidak merekodkan suhu lebih daripada 35 darjah Celcius (°C) selama tiga hari berturut-turut.  Suhu tertinggi direkodkan di Malaysia ialah 40.1°C iaitu ketika fenomena El Nino terkuat melanda negara pada  tahun 1998.

"MetMalaysia sentiasa melakukan pemantauan  termasuk status gelombang haba di seluruh negara dan sebarkan maklumat kepada agensi berkaitan untuk tindakan penguatkuasaan serta persiapan hadapi bencana," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, MetMalaysia menjangkakan perubahan cuaca dengan berlakunya hujan lebat, angin kencang dan kelembapan tinggi pada pertengahan September 2021.

"Perubahan berkenaan disebabkan Malaysia sedang beralih monsun khususnya di negeri Pantai Barat dan pedalaman Semenanjung selain pantai barat Sabah dan wilayah tengah dan barat Sarawak," ujarnya. - KitaReporters 


0
0
0
0
0

Copy Link: