KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mewujudkan perkhidmatan hotline untuk membantu usahawan yang mengalami tekanan mental dan emosi akibat kawalan pergerakan yang berterusan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, berikutan tempoh kawalan pergerakan, ramai usahawan tidak dapat menjalankan perniagaan mereka selama hampir setahun dan kini berdepan masalah kewangan.

"Hotline Adu@MEDAC dilihat sebagai perkhidmatan sokongan penting MEDAC dan agensinya untuk menangani kebimbangan dan isu kesihatan mental yang menjadi masalah terbesar yang dialami usahawan pada masa ini.

"Kami amat bimbang terhadap kesejahteraan mereka. Selain menawarkan bantuan perniagaan dan insentif, kami berpendapat, penting untuk kami turut membantu mereka dalam aspek emosi," katanya dalam kenyataan pada Isnin, 19 Julai 2021.

Tegas beliau, impak kawalan pergerakan bukan saja menjejaskan aspek ekonomi, malah aspek sosial dan boleh mewujudkan kesan negatif kepada keadaan sosioekonomi negara sekiranya situasi sedemikian berpanjangan.

"Kerajaan amat prihatin bahawa rakyat terjejas dan mencari kaedah penyelesaian yang seimbang bagi menangani masalah ini. Kawalan pergerakan bukan lagi penyelesaian kepada isu ini," katanya.

Talian hotline Adu@MEDAC 1-300-88-1020 beroperasi dari jam 9 pagi hingga 9 malam dan menjadi pusat sehenti kepada usahawan yang terjejas. - KitaReporters


 Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, selain menawarkan bantuan perniagaan dan insentif, kami berpendapat, penting untuk kami turut membantu mereka dalam aspek emosi. - Kredit foto: elite.org.my

0
0
0
0
0

Copy Link: