TAK SERIK DIPENJARA, KEMBALI MENYAMUN

Published by
KitaReporters

BERWASPADALAH jika tiba-tiba terdapat sekumpulan individu warga asing yang bermalam di dalam hutan atau ladang kelapa sawit di kawasan berhampiran kediaman anda kerana mereka mungkin bukanlah pekerja ladang.


Ini kerana  berdasarkan modus operandi penjenayah rantau melibatkan warga asing mereka sanggup 'berkampung' di dalam ladang sawit dan hutan untuk menyamun seolah-olah mereka sedang bekerja.

Mereka menyasarkan rumah yang dikenal pasti berpotensi dan mudah disamun seperti berada di kawasan terpencil, manakala aktiviti jenayah samun dilakukan bermula lewat malam hingga ke pagi.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusri Hasan Basri berkata, itu adalah antara modus operandi dilakukan oleh warga asing yang melakukan jenayah rantau dengan melakukan samun bersenjata dan pecah rumah di Kuantan dan Temerloh pada penghujung Oktober hingga awal November lalu.

Beliau memberitahu, ketiga-tiga suspek yang baru kira-kira sebulan dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara itu memulakan kembali kegiatan jenayah samun dan pecah rumah selepas dibebaskan.

Katanya, dalam kes tersebut suspek warga asing Indonesia berkenaan menggunakan warga tempatan bagi menyalurkan maklumat mengenai rumah-rumah mangsa yang menjadi sasaran mereka.

Jelasnya, kesemua empat penjenayah dikenali sebagai 'Geng Li Serama' berumur 30 hingga 47 tahun yang mempunyai rekod lampau ditahan di Jalan Triang, Bera pada 2 November lalu.

"Kesemua kejadian samun ini berlaku di kawasan perumahan yang mana suspek bersenjatakan parang, kayu dan pemotong besi memasuki rumah mangsa pada waktu awal pagi ketika semua penghuni sedang tidur.

"Dalam satu siri kejadian samun, seorang mangsa turut dicederakan pada bahagian kepala oleh penjenayah," kata Mohd. Yusri dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di Temerloh, Pahang pada Khamis (7/11/2019) lalu.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nanyan dan Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner, Mohd. Yusri Othman.


Menurutnya, semasa tangkapan polis berjaya merampas barang kes milik mangsa seperti barang kemas, telefon bimbit, jam tangan dan wang tunai bernilai RM31,300.

Katanya selain itu juga, pihak polis turut merampas kereta yang digunakan suspek dan peralatan dipercayai digunakan untuk menyamun..

 Sementara itu, beliau berkata, susulan penangkapan suspek pihak polis turut berjaya merampas barangan disyaki dadah pelbagai jenis bernilai kira-kira RM145,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Perindustrian Seberang, Temerloh.

Ujarnya, kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan, manakala kes dadah disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.



4
0
0
0
0

Copy Link: