PELBAGAI taktik digunakan oleh individu mahupun kumpulan yang melakukan kegiatan haram memproses dan mengedar air ketum dalam usaha memperdayakan pihak berkuasa, sekali gus mengelak aktiviti itu daripada dikesan.

Imigresen Perak menahan seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Thailand yang bekerja di restoran tomyam di Jalan Tawas, Ipoh, Perak untuk siasatan lanjut. 


Kebanyakan mereka berselindung dengan menggunakan pelbagai helah termasuk memproses daun ketum di belakang rumah, kebun, kawasan ladang kelapa sawit mahupun rumah tinggal.

Bagaimanapun, modus operandi terbaharu mereka menggunakan restoran tomyam bagi menjalankan aktiviti tersebut gagal apabila premis berkenaan diserbu Jabatan Imigresen Perak dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan pada Sabtu (9/11/2019) lalu.

Dalam serbuan itu, Jabatan Imigresen Perak membongkar kegiatan memproses dan menjual air ketum yang berselindung di sebalik operasi restoran tomyam di Jalan Tawas, Ipoh Perak dengan tertangkapnya dua individu warga asing.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Perak pada awalnya menyerbu premis berkenaan kerana disyaki menggaji warga asing tanpa pas yang sah. Bagaimanapun katanya, ketika pemeriksaan dijalankan ke atas premis tersebut, pihaknya telah menemukan 61 bungkusan air ketum dan 11.1 kilogram daun ketum di bahagian belakang dapur kedai berkenaan.

"Susulan serbuan tersebut, kita telah menahan seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Thailand yang bekerja di kedai itu untuk siasatan lanjut.

"Penemuan air dan daun ketum itu pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui pada Isnin (11/11/2019).

Sebanyak 61 bungkusan air ketum dan 11.1 kilogram daun ketum ditemukan di bahagian belakang dapur restoran tomyam.


Menurut Kamalludin, dalam operasi bermula pukul 8 hingga 10 malam itu juga pihaknya turut menyerbu sebuah pusat refleksologi di Menglembu, yang mana lima orang wanita warga China dan seorang lelaki tempatan dipercayai majikan ditahan.

Katanya, siasatan awal mendapati bahawa kesemua wanita warga asing itu melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki pas yang sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

"Lelaki tempatan itu pula melakukan kesalahan kerana melindungi warga asing tanpa pas yang sah. Kesemua mereka ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan operasi secara berterusan yang mana orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat dan melaporkan aduan agar tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut saluran yang betul.


0
4
0
0
0

Copy Link: