BILA KETUA POLIS DAERAH 'SCAM' MACAU SCAM

Published by
KitaReporters
TERSALAH pilih mangsa. Itu yang terjadi kepada sindiket penipuan Macau Scam apabila individu yang mahu diperdayakan melalui panggilan telefon itu adalah seorang pegawai kanan polis. : KitaReporters.com

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz (kanan) menunjukkan rakaman perbualan telefon sindiket Macau Scam yang berjaya direkod ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak baru-baru ini.

Lebih melucukan lagi apabila suspek yang merupakan seorang wanita itu tidak menyedari bahawa dia sebenarnya yang sedang di'scam' pula oleh Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz.

Menurut A. Asmadi, dia menerima panggilan dari wanita itu yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai Tadbir (Bahagian Semakan Saman) di Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan memaklumkan yang dia memiliki saman trafik.

Katanya, wanita itu kemudian memintanya memberikan butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan kononnya untuk semakan saman.

"Saya sedar itu adalah cubaan untuk menipu dan telah bertindak melayan perbualan itu selain merakamnya bagi mengetahui taktik penipuan sindiket tersebut. 

"Dalam perbualan selama lima minit itu, wanita terbabit beberapa kali mendesak agar saya memberikan nombor kad pengenalan, namun selepas saya memaklumkan yang saya adalah Ketua Polis Daerah, dia terkejut dan terus memutuskan panggilan telefon. 

"Bagaimanapun, sebelum dia memutuskan panggilan tersebut, sempat juga dia gelarkan saya bodoh," katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Ipoh hari ini (Rabu, 20/11/2019). 

Menurut beliau, berdasarkan semakan ke atas nombor telefon yang digunakan, panggilan itu direkodkan di Sabah dan bukannya di Mahkamah Tinggi Johor Bahru seperti yang didakwa. 

Beliau berkata, berdasarkan panggilan itu terbukti bahawa mereka yang terlibat dalam kegiatan berkenaan sangat licik melakukan penyamaran. 

"Orang ramai perlu lebih berwaspada dengan taktik sindiket ini kerana mereka jelas tidak memilih mangsa sama ada orang awam mahupun polis. 

"Berdasarkan rekod di daerah ini dari Januari hingga Oktober tahun lalu, sebanyak 122 kertas siasatan telah dibuka berkaitan kes berkenaan sementara 62 bagi tempoh sama tahun ini.

"Walaupun ada penurunan, tetapi dari segi aduan dan laporan diterima berkaitan kes ini sentiasa berjalan menunjukkan masih ramai yang terjebak dan tertipu," katanya. - KitaReporters.com

10
2
0
0
0

Copy Link: