LABUAN menjadi negeri dan wilayah pertama beralih kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peralihan kepada Fasa 4 itu berikutan kadar vaksinasi lengkap di wilayah itu mencapai imuniti berkelompok iaitu 92.4 peratus daripada populasi dewasa.

"Perkara ini disokong oleh data yang menunjukkan trend kes positif Covid-19 harian di Labuan menurun kepada satu digit secara konsisten selama 12 hari berturut-turut," katanya dalam kenyataan di Putrajaya pada Selasa, 24 Ogos 2021.

Ismail Sabri menjelaskan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) Labuan kini telah menurun ke angka sifar berbanding 30 peratus pada Julai lalu.

"Mengambil kira keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan hari ini mengumumkan peralihan PPN di Labuan dari Fasa 3 kepada Fasa 4," katanya.

Beliau berkata, antara kemudahan yang dinikmati penduduk Labuan adalah semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 100 pekerja tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa.

Malah, majlis sosial turut dibenarkan dengan had 50 peratus berdasarkan kapasiti premis atau dewan selain mengamalkan penjarakan fizikal. - KitaReporters


1
0
0
0
0

Copy Link: