Gambar hiasan... Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Sekolah Kebangsaan Tapah, Hulu Terengganu. - Kredit foto: FB Warga Hulu Sihat


KADAR purata kebangsaan kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) Covid-19 yang berdasarkan kes harian di negara ini kekal 1.04 pada 18 Ogos 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua negeri merekodkan Rt melebihi purata kebangsaan kecuali Selangor, Negeri Sembilan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Perlis catatkan Rt tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu 1.33  dengan diikuti Sarawak (1.21), Sabah (1.19), Pulau Pinang (1.18), Kelantan (1.14).

“Manakala, Kedah dan Perak pula masing-masing 1.10, Johor (1.07), Melaka (1.06), Pahang (1.06) dan Terengganu (1.05).

"Sementara itu, Selangor mencatatkan nilai 0.99 diikuti Kuala Lumpur (0.96), Negeri Sembilan (0.95) dan Putrajaya (0.91). Labuan pula mencatatkan lima kes berbanding kelmarin, tiada kes direkodkan,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian pada 19 Ogos 2021.

Tambah beliau, berdasarkan Model Pembendungan Risiko, Pendedahan dan Jangkitan (SEIR) Unjuran dan Pemerhatian Kes Harian Covid-19, kes harian berisiko melonjak melebihi 20,000 jika Rt kembali melebihi 1.2, kesan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

“Jika pematuhan SOP dilakukan, Rt mampu turun sehingga 0.95 mengikut pemerhatian kes yang mengambil kira purata tujuh hari bagi nilai keseluruhan dan tempoh 14 hari bagi Rt setiap negeri,” ujarnya.

Untuk info, mengikut rekod Kementerian Kesihatan (KKM), Rt terendah pernah dicatatkan pada 0.81 pada 3 Mac 2021 dan nilai Rt ialah merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu jumlah individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. - KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: