PERKHIDMATAN awam harus menggenggam semangat ‘Keluarga Malaysia’ sebagai konsep penting dalam mengatur strategi memulihkan semula ekonomi dan menyusun semula negara dalam era pascapandemik COVID-19 dan fasa endemik menjelang akhir Oktober 2021 ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri telah mengarahkan Jemaah Menteri untuk memastikan enam teras utama petunjuk prestasi utama (KPI) diberi perhatian dan kesemua elemen itu akan dinilai dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan.

KPI tersebut adalah menstruktur semula ekonomi; menjamin keselamatan dan ketenteraman negara; meningkatkan kesejahteraan sosial; mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh; memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia; dan memperkasa penyampaian perkhidmatan.

“Sebagai anggota perkhidmatan awam, di atas bahu kita semualah segala harapan dan jangkaan rakyat diletakkan bagi memastikan pencapaian KPI ini boleh dilaksanakan dengan cemerlang,” katanya seperti dipetik daripada laporan Bernama, Rabu, 15 September 2021.

Terdahulu, beliau menyampaikan ucaptama sempena Webinar PPTD-INTAN-UM Peranan Perkhidmatan Awam dalam Pembinaan Negara secara maya.

Dalam pada itu, Mohd Zuki mengakui perkhidmatan awam yang dipacu pada hari ini sangat berbeza situasi dan keadaannya berbanding dengan apa yang dilalui oleh generasi terdahulu.

Malah, katanya tiada siapa menyangka pandemik COVID-19 merubah hampir keseluruhan cara berfikir, bekerja dan menguruskan negara. - KitaReporters


7
12
0
16
0

Copy Link: