Gambar hiasan... Permohonan untuk beroperasi kini boleh dikemukakan firma guaman syarie. - Kredit foto: www.jbg.gov.my


FIRMA guaman syarie di seluruh negara kini boleh mengemukakan permohonan bagi pengoperasian pejabat berkenaan sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, permohonan boleh dibuat melalui sistem Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) – Covid-19 Intelligent Management System (CIMS).

“Permohonan berkenaan akan diuruskan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi tujuan pertimbangan kelulusan pengoperasian tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Kelulusan permohonan juga tertakluk kepada negeri-negeri yang berada dalam fasa PPN,” katanya dipetik daripada laporan Utusan Malaysia bertarikh 28 Julai 2021.

Ujar beliau lagi, permohonan boleh dibuat melalui Kluster Perundangan dan Kehakiman Syariah dan Sektor Guaman Syarie yang punyai empat subsektor.

“Subsektor berkenaan ialah Khidmat Nasihat Profesional Guaman Syarie, Perkhidmatan Guaman Syariah, Perkhidmatan Khidmat Nasihat dan Peguam Syarie bagi tuntutan Harta Pusaka, Hibah dan Wasiat serta Perkhidmatan Perunding Keluarga Islam.

“Melalui peluang diberikan ini, ia diharapkan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua peguam syarie di seluruh negara dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” ujarnya. - KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: