FENOMENA kepala air dilapor berulang di Titi Hayun, Yan, Kedah berikutan hujan lebat sekali gus menyebabkan arus deras dan limpahan air di kawasan sekitarnya, pada Khamis 2 September 2021.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata bagaimanapun kejadian kepala air itu tidak seteruk tragedi yang berlaku pada 18 Ogos 2021 lalu.

Katanya setakat ini, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak masih melakukan pemantauan di kawasan itu sejak 11.15 pagi.

"Keadaan air masih terkawal dan kami turut memberi peringatan kepada penduduk di kawasan sekitar supaya berhati-hati.

"Seramai enam anggota dan pegawai dari BBP Guar Chempedak berada di lokasi bagi melakukan pemantauan setiap empat jam, terutama di kawasan berisiko," katanya seperti dipetik Berita Harian, Khamis, 2 September 2021.

Pada 18 Ogos 2021 lalu, fenomena kepala air berlaku di kawasan kaki Gunung Jerai membabitkan Titi Hayun dan Batu Hampar dan menyebabkan enam mangsa meninggal dunia akibat dibawa arus deras seperti tsunami. - KitaReporters


0
0
1
0
0

Copy Link: