Gambar hiasan... Program vaksinasi Covid-19 untuk sekolah menengah di Terengganu akan dilaksanakan tidak lama lagi. - Kredit foto: tanjungpinangkota


TERENGGANU kini hanya menunggu garis panduan pelaksanaan imunisasi kepada pelajar sekolah untuk melaksanakan program vaksinasi Covid-19 melibatkan 95,000 pelajar sekolah menengah di negeri berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata semua pihak terlibat telah pun bersedia melaksanakan program melibatkan pelajar berusia di antara 13 hingga 17 tahun itu yang dijangka tidak lama lagi.

"Program ini dimulakan di Sarawak dulu dan di Terengganu, kita sudah bersedia dan sedang menunggu garis panduan pelaksanaan. Apabila dapat nanti, kita akan terus mulakan.

“Kita sememangnya punyai kemampuan sumber manusia dan tempat untuk melaksanakan vaksinasi kepada pelajar sekolah menengah di negeri ini.

“Bagaimanapun pelaksanaannya kelak bergantung juga kepada bekalan vaksin yang diperolehi,” katanya dipetik laporan Sinar Harian siaran 5 September 2021.

Sementara itu, berhubung perkembangan suntikan vaksin Covid-19 di Terengganu, Dr Kasemani memaklumkan 86 peratus daripada 808,400 rakyat negeri ini yang layak divaksin sudah menerima suntikan pertama.

Menurutnya, jumlah itu menjadikan baki penduduk masih belum divaksin seramai 122,436 orang dengan Dungun merekodkan angka paling ramai iaitu 37,843 orang dengan disusuli Besut seramai 36,181 orang.

“Selain itu penduduk masih belum divaksin diikuti daerah Kuala Terengganu (26,096), Marang (7,706), Hulu Terengganu (7,039), Kemaman (3,362) dan Setiu (3,309),” ujarnya. KitaReporters


6
8
0
14
0

Copy Link: