Berita Terkini| Berang isteri buat laporan polis! Lelaki bakar 2 kereta milik keluarga isteri!

Published by
KitaReporters

KETUA Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kebakaran berkenaan sempat dipadamkan oleh ahli keluarga selepas disedari mangsa iaitu mentua suspek. - Kredit Foto: Sinar Harian


GARA-GARA tidak puas hati dengan isteri yang bertindak membuat laporan polis selepas bergaduh, seorang suami sanggup bertindak luar kawalan dengan membakar dua buah kereta milik keluarga isterinya pada Ahad,11 Julai 2021.

Dalam kejadian di Kampung Indah, Bahau itu, lelaki yang berusia 26 tahun yang mempunyai masalah rumah tangga itu dipercayai terlalu berang terhadap isterinya lalu membakar sebuah kereta Perodua Kancil milik mentuanya dan sebuah kereta Proton Satria milik kakak iparnya.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook bagaimanapun kebakaran berkenaan sempat dipadamkan oleh ahli keluarga selepas disedari mangsa iaitu mentua suspek.

"Mangsa menyedari kejadian ketika keluar rumah dan melihat suspek sedang mencurah minyak ke atas kain sebelum dibakar,"katanya seperti dipetik oleh Berita Harian pada Selasa, 13 Julai 2021.

Chang Hook berkata, suspek yang menyedari kejadian itu dilihat mentuanya, kemudian melarikan diri namun mangsa kemudian mendapati kereta Proton Satria yang berada di garaj turut terbakar.

"Siasatan turut mendapati, suspek bergaduh dengan isterinya beberapa hari lalu dan isteri suspek membuat laporan polis," katanya.

Chang Hook berkata, suspek berjaya ditangkap polis di sekitar Bahau dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, 18A Akta Keganasan Rumahtangga ( pindaan) 2012 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan. - KitaReporters


GAMBAR HIASAN ...Suspek berusia 26 tahun itu akhirnya berjaya ditangkap polis di sekitar Bahau dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, 18A Akta Keganasan Rumahtangga ( pindaan) 2012 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan


2
0
3
0
0

Copy Link: