TIGA individu termasuk dua bekas Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran di Selangor direman enam hari kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan di kawasan masing-masing.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman hingga Rabu, 28 Julai 2021 selepas mendengar permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Putrajaya, pada Jumaat 23 Julai 2021.

Kedua-dua bekas YDP yang berusia 47 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM ketika hadir memberikan keterangan pada Khamis 22 Julai.

Menurut sumber, turut ditahan ialah seorang kontraktor yang terbabit memberi rasuah bagi membolot projek ditawarkan di dua majlis perbandaran diketuai kedua-dua YDP terbabit.

"YDP berkenaan kini memegang jawatan pegawai daerah (DO), manakala kontraktor berusia 42 tahun itu sebelum ini dipercayai mengawal 16 syarikat didaftarkan atas nama saudara dan pekerjanya bagi mendapatkan projek di dua majlis perbandaran berkenaan yang dianggarkan mencecah jutaan ringgit sejak empat tahun lalu.

"Bagi setiap projek diperoleh, kedua-dua bekas YDP itu akan menerima habuan lima peratus daripada nilai projek serta menerima pelbagai bentuk suapan termasuk sebuah rumah bernilai RM1 juta, wang tunai RM500,000 dan pakej pelancongan ke Eropah bagi meluluskan kebenaran merancang dan pembangunan milik sebuah syarikat pemaju perumahan," kata sumber yang dipetik oleh Berita Harian pada Jumaat, 23 Julai 2021.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan. - KitaReporters


GAMBAR hiasan...Tiga individu termasuk YDP majlis perbandaran Selangor kini direman enam hari sehingga 28 Julai 2021.

0
0
0
2
0

Copy Link: