Berita Terkini| Harga ayam turun berperingkat! Kerajaan setuju teliti dan stabil harga!

Published by
KitaReporters

PIHAK industri telah bersetuju menurunkan lagi harga ayam pada peringkat pengeluar serta ladang, supaya harga pada peringkat borong dan runcit dapat distabilkan dan membantu pengguna menikmati harga ayam yang berpatutan. 

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama dikeluarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi  dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Menurut kenyataan itu, dalam mesyuarat antara kedua-dua kementerian itu, kerajaan juga bersetuju untuk meneliti beberapa cadangan daripada pihak industri berkaitan usaha menstabilkan harga ayam.

Antaranya adalah pemberian kemudahan pinjaman mudah bagi membantu industri mengekalkan jumlah pengeluaran ayam yang mencukupi dan menangani isu peningkatan kos pengeluaran berikutan kenaikan harga komponen makanan ayam yang diimport.

Kerajaan juga akan mempertimbangkan kawalan harga di semua peringkat, disokong dengan pemberian subsidi kepada rantaian tertentu sebagai salah satu usaha menangani isu kenaikan harga ayam, katanya.

Turut dipertimbangkan ialah cadangan melaksanakan sistem permohonan permit (AP) bagi penjualan ayam sekiranya usaha kerajaan untuk menangani isu harga ayam tidak mendapat kerjasama daripada peniaga di semua peringkat.

KPDNHEP dan MAFI juga akan memantau rapi isu kenaikan harga ayam standard yang berlaku sejak awal bulan ini iaitu harga runcit didapati melebihi RM10 sekilogram di beberapa kawasan. - KitaReporters


17
14
0
8
0

Copy Link: