ORANG ramai diminta untuk menangguhkan aktiviti menderma darah hingga tujuh hari selepas pengambilan vaksin Covid-19 walaupun tidak menghadapi kesan sampingan.

Pusat Darah Negara (PDN) memaklumkan, bagi individu yang mendapat kesan sampingan ringan setelah menerima vaksin pula hanya dibenarkan menderma darah selepas tujuh hari dari tarikh sembuh.

Penangguhan aktiviti derma darah tersebut membabitkan individu yang menerima suntikan vaksin antaranya Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca.

"Garis panduan tersebut selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Tempoh penangguhan ini adalah berdasarkan prinsip berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan penderma dan pesakit yang menerima darah.

"Kriteria ini adalah untuk memastikan penderma darah berada pada tahap kesihatan yang optimum semasa menjalankan aktiviti menderma darah," katanya dalam kenyataan, Isnin, 13 September 2021.

PDN pada masa sama, turut menafikan satu mesej WhatsApp yang tular berkenaan bekalan darah hospital berkurangan dan makin kritikal.

Jelasnya, maklumat dalam mesej tersebut adalah tidak benar dan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan orang ramai. - KitaReporters


12
9
0
13
0

Copy Link: