Gambar hiasan... Polis berjaya menahan seorang lelaki dan turut menyelamatkan seorang wanita  berketurunan Melanau daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks.


SEORANG pelawak lelaki terkenal berusia 40-an dicekup oleh polis di sebuah hotel di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2021 selepas disyaki terlibat kegiatan pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata suspek ditahan kira-kira jam 10 pagi dalam serbuan Op Pintas oleh Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah.

 “Hasil risikan dijalankan, polis berjaya menahan seorang lelaki dan turut menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks.

"Polis turut merampas sebuah Perodua Axia, beberapa bungkusan kondom, sejumlah wang tunai dan empat telefon bimbit. Suspek direman selama empat hari.

“Wanita yang diselamatkan polis mendapat perintah perlindungan sementara dan ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor,” katanya dipetik laporan Harian Metro, 3 Ogos 2021.

Tambah Amran, siasatan dijalankan mengikut Seksyen Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda.

Katanya lagi, siasatan lanjut berkaitan kes tersebut masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian kegiatan pemerdagangan orang itu.

Dalam perkembangan sama, suspek juga dikenakan kompaun bagi kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) ( Pelan Pemulihan Negara) 2021. -KitaReporters


0
2
0
0
0

Copy Link: