Gambar hiasan… Kos pengurusan jenazah Covid-19 di Pahang akan ditanggung kerajaan negeri. Kredit foto: Sumber FB


KERAJAAN Negeri Pahang akan menanggung kos pengurusan jenazah mangsa Covid-19 di negeri itu sebagai tanda keprihatinan akibat beban kewangan terpaksa ditanggung oleh keluarga waris.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata keputusan itu dicapai pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada 11 Ogos 2021.

“Seperti sedia maklum, semua pengurusan jenazah berkaitan Covid-19 diuruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di hospital-hospital terbabit dengan menggunakan khidmat badan sukarelawan.

“Badan-badan sukarela ini tentunya ada mengenakan kadar bayaran tertentu kepada waris bagi urusan pengurusan jenazah selain menyediakan kain kapan, keranda dan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk petugas.

“Hasil keputusan MMK Negeri, badan sukarela terlibat boleh tuntut bayaran itu daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerusi Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) khususnya di masjid-masjid daerah berkenaan," katanya dipetik daripada laporan Sinar Harian pada 12 Ogos 2021.

Tambah beliau, mesyuarat juga memutuskan untuk menubuhkan sebuah tabung khas berkaitan  pengurusan jenazah Covid-19 dengan dikendalikan oleh JAIP yang akan meminta semua masjid turut membuat kutipan khas.

Katanya lagi, sebagai permulaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah bersetuju menyalurkan RM200,000 ke tabung khas tersebut. - KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: