Berita Terkini| Persidangan Dewan Rakyat dipinda ke tarikh baharu! Dari 6 Sept ke 13 Sept 2021!

Published by
KitaReporters


PERSIDANGAN Dewan Rakyat yang sepatutnya dijadualkan bermula pada 6 September ini telah dipinda ke 13 September 2021 ini.

Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin memaklumkan penangguhan tarikh berkenaan kepada semua Ahli Dewan Rakyat (ADR).

“Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (2), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen ke-14 yang dijadualkan pada Isnin, 6 September hingga Khamis, 30 September 2021 telah dipinda ke Isnin, 13 September hingga Khamis, 12 Oktober 2021,” katanya seperti dipetik daripada Sinar Harian pada Selasa, 31 Ogos 2021.

Bagaimanapun, sebab-sebab penangguhan tersebut tidak dijelaskan.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan bahawa sidang penuh Parlimen ke-14 akan diadakan selama 15 hari bermula 6 September ini.

Undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka diadakan pada persidangan itu. - KitaReporters


 

 

0
0
0
0
0

Copy Link: