POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan lanjut berhubung penularan video berkenaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) solat sunat Aidiladha di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, pada awal pagi Selasa, 20 Julai 2021.

Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya memberikan jaminan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat menganjurkan majlis tersebut.

“Pada masa sama, mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) untuk tidak teragak-agak mengambil tindakan pengusiran di bawah Akta Imigresen 1958/63 sekiranya ia membabitkan penglibatan warga asing,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu, 21 Julai 2021.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan awal mendapati perbuatan itu berlaku secara spontan, selepas kesemua mereka tidak dibenarkan bersolat di dalam surau memandangkan jumlah jemaah dihadkan hanya kepada 100 orang.

Beliau berkata, sebelum kejadian pagi itu, polis sudah melakukan rondaan awal di kawasan berkenaan, namun pengurusan surau didapati mematuhi SOP ditetapkan.

Terdahulu, tular sebuah video dalam laman sosial Facebook berhubung ratusan individu dipercayai warga asing didakwa melanggar SOP dengan menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang di Taman Pelangi, Juru, Pulau Pinang. - KitaReporters


 

 

 

1
0
0
0
0

Copy Link: