Berita Terkini| Sultan Sharafuddin zahir dukacita! Pegawai kerajaan Selangor terlibat rasuah!

Published by
KitaReporters

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Kredit foto: FB Selangor Royal Office


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah zahir rasa dukacita mengetahui ada dalam kalangan pegawai kerajaan di Selangor terlibat kegiatan rasuah.

Memetik laporan Sinar Harian 28 Julai 2021, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani memaklumkan Sultan Sharafuddin bertitah mana-mana pegawai didapati bersalah hendaklah dikenakan tindakan tatatertib serta hukuman setimpal.

“Baginda bertitah kegiatan rasuah atau pecah amanah boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan di Selangor.

“Mana-mana pegawai kerajaan dan ahli politik  dikurniakan darjah dan bintang kebesaran serta pingat negeri Selangor yang didapati melakukan kesalahan rasuah, kurniaan tersebut akan ditarik balik,” katanya.

Tambah Mohamad Munir, Sultan Selangor turut zahirkan penghargaan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah dapat dibanteras.

Kata beliau lagi, baginda berkenan menggesa SPRM terus jalankan penyiasatan secara telus dan teliti dapatkan bukti kukuh bagi pastikan mereka yang melakukan rasuah tidak terlepas daripada menerima hukuman sewajarnya. -KitaReporters


 

 

0
0
0
0
0

Copy Link: