PENETAPAN harga maksimum baharu bagi kit ujian pantas kendiri Covid-19 lebih rendah daripada harga semasa akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada Disember 2021.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, sehingga kini harga baharu kit ujian tersebut belum ditetapkan dan masih dalam perbincangan.

Bagaimanapun menurutnya, kerajaan turut mempertimbangkan keperluan pelaksanaan harga baharu lebih awal berbanding Disember berikutan permintaan serta penggunaan alatan ujian ini kian meningkat.

“Pembukaan sektor ekonomi, pelancongan dan pendidikan secara berperingkat-peringkat dan kelonggaran-kelonggaran lain dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjadikan kit ujian kendiri Covid-19 itu alatan penting yang diperlukan oleh orang ramai bagi memastikan diri bebas daripada jangkitan Covid-19.

“Dalam erti kata lain, ujian pengesanan kendiri Covid-19 kini menjadi satu norma baharu yang perlu diadaptasi dalam kehidupan seharian segenap lapisan masyarakat.

“Kerajaan mahu memastikan rakyat dapat memeriksa kesihatan kendiri secara kerap dalam usaha membendung penularan wabak ini dan dalam masa sama perlu memastikan harga kit ujian ini lebih mesra pengguna dan tidak membebankan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian, Isnin 27 September 2021. - KitaReporters


9
10
0
9
0

Copy Link: