Berita Terkini| Curi tabung masjid, surau! Polis berjaya tahan dua individu disyaki terlibat!

Published by
KitaReporters


POLIS Perak berjaya mematahkan kegiatan mencuri wang tabung masjid, surau dan premis perniagaan di sekitar daerah Perak Tengah selepas menahan dua lelaki disyaki dalam dua tangkapan berbeza, minggu ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintenden Barudin Wariso berkata, dua lelaki berusia 19 dan 24 tahun itu ditahan, di lokasi berasingan sekitar negeri ini.

Kedua-dua lelaki yang juga penganggur itu disyaki melakukan kegiatan berkenaan secara berasingan dan sendirian.

“Suspek pertama berusia 19 tahun melakukan perbuatan berkenaan di enam buah masjid, sebuah surau dan empat premis perniagaan di Seri Iskandar, Bota dan Kampung Gajah.

“Dia juga mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah dan pecah rumah,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia, Selasa, 31 Ogos 2021.

Katanya, seorang lagi lelaki berusia 24 tahun pula terlibat dalam mencuri wang tabung di lima masjid dan sebuah surau di sekitar Bota dan Seri Iskandar serta mempunyai 10 rekod kesalahan membabitkan kes samun dan dadah.

Menurut Barudin, kes akan  disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: