Kes harian baharu positif Covid-19 di Terengganu pada 31 Julai 2021 merekodkan angka tertinggi sepanjang pandemik melanda


MAJLIS keraian diadakan secara sembunyi oleh masyarakat antara punca kes positif Covid-19 di  Terengganu kini merekodkan peningkatan mendadak.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata peningkatan kes juga ekoran kegagalan penduduk patuhi prosedur operasi standard (SOP) sewaktu sambutan Aidiladha baru-baru ini.

“Terdapat segelintir pihak dalam masyarakat mengadakan keraian dan majlis secara sembunyi-sembunyi ketika Hari Raya Korban sekali gus melanggar SOP.

“Selain itu, terdapat juga aktiviti rentas negeri dan daerah semasa sambutan raya walaupun ia tidak dibenarkan,” katanya yang dipetik daripada laporan Sinar Harian, 1 Ogos 2021.

Tambah beliau, kemasukan pekerja kontrak warga asing dari luar Terengganu yang tidak jalani ujian saringan turut mencetuskan kluster antara mereka selain peningkatan kes-kes bergejala berikutan penularan cepat dalam komuniti.

“Penambahan kes Covid-19 negeri ini juga disebabkan peningkatan saringan kontak rapat dan bersasar yang dilakukan di beberapa lokaliti di seluruh daerah di Terengganu,” ujarnya.

Untuk info,  pada 31 Julai 2021, Terengganu merekodkan angka tertinggi kes harian baharu positif Covid-19 sepanjang pandemik melanda iaitu dengan 883 kes harian membabitkan 860 kes penularan tempatan, sekali gus menjadikan terdapat 3,140 kes aktif di negeri berkenaan. - KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: