Gambar hiasan...  Sesi PdP secara bersemuka pada 3 Oktober 2021 akan menggunakan sistem penggiliran setiap minggu. - Kredit foto: Harakahdaily


SESI pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka di sekolah yang dijadualkan bermula 3 Oktober 2021 akan menggunakan sistem penggiliran setiap minggu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata murid dan pelajar setiap sekolah akan dibahagikan kepada dua kumpulan mengikut minggu dengan kapasiti kelas dihadkan kepada 50 peratus kehadiran.

“Pendekatan sistem penggiliran setiap minggu ini bagi memastikan semua murid dan pelajar yang hadir ke sekolah selamat.

"Sebagai contoh, pada minggu pertama Kumpulan A hadir ke sekolah untuk belajar secara PdP, manakala Kumpulan B jalani PdPR. Bagi minggu kedua, sistem bergilir iaitu Kumpulan B pula perlu ke sokolah dan Kumpulan A belajar di rumah.

"Sistem penggiliran ini akan berterusan mengikut keadaan semasa dan akan dimaklumkan jika terdapat sebarang perubahan,” katanya dipetik daripada laporan Harian Metro pada 12 September 2021.

Ujar beliau lagi, beberapa kumpulan pelajar dikecualikan daripada menggunakan sistem penggiliran dan perlu hadir ke sekolah seperti biasa.

“Mereka ialah Murid Berkeperluan Khas di sekolah menengah kebangsaan pendidikan khas, sekolah menengah pendidikan khas vokasional, sekolah kebangsaan pendidikan khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi.

“Begitu juga dengan pelajar tingkatan enam semester dua dan IBD tahun dua, murid di sekolah asrama penuh, murid kelas peperiksaan antarabangsa.

"Selain itu, murid prasekolah, tadika swasta, pusat pemkembangan minda umur empat hingga enam tahun serta sekolah kurang murid iaitu kapasiti kurang 150 murid,” ujarnya. - KitaReporters


11
8
0
14
0

Copy Link: