POLIS sedang mengesan seorang suspek yang melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita untuk menyimbah asid dan membakar rumahnya melalui nota di dalam bungkusan kurier yang dikirimkan ke sebuah alamat di Kampung Siam, Klang, pada 30 Ogos 2021 lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie berkata, suspek turut mengugut untuk mencederakan mangsa, keluarga serta kawan-kawan mangsa.

Malah turut mengirim objek berbentuk tangan dengan kesan cecair merah bersama-sama bungkusan itu yang diterima pada Isnin lalu itu.

Mohd. Khairi berkata, mangsa berusia 29 tahun membuat laporan polis pada jam 7.30 petang hari sama.

“Pengadu yang bekerja sebagai jurujual di kedai emas itu juga mendakwa dia turut menerima mesej berbaur lucah dan ugutan menerusi aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali, pada keesokan harinya.

"Pihak polis kini membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan memanggil pengadu untuk dirakamkan keterangan serta sedang mengesan pengirim bungkusan dan pemilik nombor telefon bimbit yang terbabit,” katanya seperti dipetik Berita Harian, Khamis 2 September 2021.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai menghentikan perbuatan tidak bermoral serta menyalahi undang-undang yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat. - KitaReporters


0
1
0
0
0

Copy Link: