PASUKAN Simpanan Persekutuan (FRU) bersiap sedia di laluan masuk Jalan Parlimen bagi menyekat pergerakan tersebut. - Kredit foto: Sinar Harian


CUBAAN Ahli-Ahli Parlimen pembangkang berarak untuk memasuki bangunan Parlimen tidak berjaya setelah disekat oleh polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Antara yang hadir dalam perarakan tersebut ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Memetik laporan Sinar Harian, Ahli-Ahli Parlimen berkenaan mula berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam 10 pagi apabila cubaan mereka untuk memasuki bangunan Parlimen yang dijadualkan  pada jam 9.30 pagi tidak berjaya.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meletak jawatan selepas mencabuli Perlembagaan dan membelakangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan rakyat.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia apabila Ahli Parlimen dihalang masuk untuk bersidang," katanya seperti dipetik oleh Harian Metro pada Isnin, 2 Ogos 2021.

Selepas beberapa Ahli Parlimen berucap, kumpulan itu cuba berarak dari Dataran Merdeka ke Parlimen sambil memegang kain rentang yang bertulis 'Mahiadin & kabinet letak jawatan'. 

Pihak polis berkawal untuk menghalang pergerakan tersebut akibatnya Ahli-Ahli Parlimen hanya dapat berarak sehingga ke bulatan Bank Negara sahaja. - KitaReporters


 

 

0
0
0
0
1

Copy Link: